Takiyuddin Hassan bergambar bersama Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas lawatan tertutup ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), di Lanchang ,Pahang

TEMERLOH – Kerajaan Pahang memberi tanah seluas 80 hektar bagi membangunkan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) yang boleh memuatkan 32 ekor Pak Belang itu sekali gus.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli,  Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan MTCC yang bernilai RM52 juta di Lanchang mampu mengatasi masalah kepupusan spesis haiwan itu yang semakin kritikal.

“Kerajaan Persekutuan mengucapkan terima kasih kepada Pahang yang memberikan tanah untuk dibangunkan pusat itu, yang mana daripada keluasan itu, 20 hektar telah dibangunkan sebagai Pusat Konservasi Harimau Malaya.

“Lokasi ini bukan sahaja bagi tujuan konservasi tetapi juga pusat rehabilitasi harimau sebelum dilepaskan ke habitat asal,” katanya selepas mengiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam lawatan tertutup ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), di Lanchang, Pahang hari ini.

Hadir mengiringi baginda, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri  Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Anak Biju serta Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa.

Kementerian itu turut mencadangkan Yang di-Pertuan Agong menjadi penaung kepada pusat tersebut.

Sebanyak 39 ekor harimau dilindungi di negeri, jumlah terbanyak direkodkan.

Difahamkan populasi Harimau Malaya sekarang kurang 150 ekor berbanding lebih 3,000 ekor sekitar tahun 1950-an. – MalaysiaGazette