KUALA LUMPUR – Berita baik untuk rakyat Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. sedang mencari pekerja!
Peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia itu berkata, ia telah mula menerima permohonan untuk lebih daripada 1,700 jawatan di seluruh negara.
Bagi memudahkan para pemohon, peruncit tersebut akan menganjurkan sebuah program pencarian pekerja selama tiga hari di Kuala Lumpur di MR D.I.Y PLUS, Mid Valley Megamall, dari 9 hingga 11 September 2022, mulai 11 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Permohonan juga turut diterima dalam talian melalui https://forms.gle/bxHUMTk1PPLRuP1LA atau di https://www.mrdiy.com/career
MR D.I.Y sedang mencari calon-calon untuk memenuhi kekosongan pelbagai jawatan, dari pengurusan kanan dan tengah sebagai eksekutif dan pegawai di ibu pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor, hinggalah penyelia, pembantu penyelia, juruwang, promoter dan pembantu kedai di cawangan-cawangan MR D.I.Y, MR. DOLLAR dan MR. TOY di seluruh negara.
Peruncit tersebut juga menerima permohonan bagi Program Perantis Pengurusan (MAP) dan Program Perantis Penyelia (SAP); para lepasan universiti digalakkan untuk memohon program-program ini.
”Kami merupakan majikan yang menawarkan peluang sama rata, dan mengalu-alukan permohonan dari orang ramai,” katanya.
Kumpulan MR D.I.Y telah banyak berkembang sejak pembukaan cawangan pertama pada tahun 2005.
Sehingga kini, peruncit ini mempunyai lebih 13,000 kakitangan di lebih 1,000 cawangan di seluruh negara dan 180 cawangan lagi yang dijangka dibuka pada tahun ini. – MalaysiaGazette