Seorang pengurus kewangan sebuah syarikat antara dua suspek direman SPRM atas dakwaan rasuah lebih RM10 juta di mahkamah majistret Putrajaya pagi tadi. Ihsan SPRM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang pengurus kewangan syarikat direman bagi membantu siasatan berhubung urusan pengambilalihan kerja melibatkan projek pembinaan sistem pengangkutan awam membabitkan nilai rasuah lebih RM10 juta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, permohonan reman terhadap suspek wanita dan lelaki yang masing-masing berusia awal 40-an itu dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi hari ini.

Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 September ini untuk membantu siasatan lanjut.

Menurut sumber, suspek wanita yang merupakan pengurus kewangan di sebuah syarikat dipercayai melakukan pembayaran rasuah berjumlah lebih RM10 juta bagi memudahkan urusan dan kelulusan pengambilalihan kerja melibatkan projek berkenaan daripada sebuah syarikat lain kepada syarikat suspek bekerja.

Sumber berkata, wanita terbabit yang bertanggungjawab melakukan pembayaran wang tersebut dipercayai melakukannya tanpa mematuhi prosedur kewangan dan perolehan syarikat yang telah ditetapkan.

Manakala, suspek lelaki pula yang merupakan bertugas sebagai ketua bahagian pemasaran di syarikat yang sama pula, disyaki membuat pembayaran kepada enam individu dan entiti yang berbeza yang disyaki palsu.

Katanya, kedua-dua suspek telah ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 9.30 malam, semalam semasa mereka hadir untuk memberi keterangan.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan kedua-dua suspek tersebut untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette