Dua PPS masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Baling, Kedah.

BALING – Seramai 128 mangsa banjir membabitkan 36 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini sehingga pukul 7 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, 94 mangsa daripada 30 keluarga berada di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang.

Manakala 34 mangsa daripada enam keluarga di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu dan rumah mereka masih tidak selamat menyebabkan kesemua mangsa tidak dibenarkan pulang.

“Mereka dinasihatkan tinggal di PPS sehingga keadaan pulih. Bagaimanapun ada antara mangsa pulang pada siang hari (semalam) untuk membersih rumah dan datang semula ke PPS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan, Baling sekali lagi dilanda banjir kilat selepas hujan lebat tanpa henti lebih dua jam melanda daerah itu.

Hujan yang dilaporkan turun bermula pada jam 2 petang itu telah menyebabkan kawasan di Taman Bayu Sejahtera dan Kampung Sungai Batu dalam Mukim Baling dilanda banjir kilat. – MalaysiaGazette