Bekas Pengerusi Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir pada sebutan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Seorang hakim yang mendengar rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung saman terhadap Lim Guan Eng menarik diri hari ini.

Hakim berkenaan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera mengetuai panel tiga hakim bersidang hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana mempunyai kaitan dengan pihak-pihak dalam saman berkenaan ketika menjadi peguam sebelum ini.

Sambil memohon maaf, Vazeer Alam berkata, beliau hanya sedar tentang perkara itu ketika sedang membaca dokumen rayuan semalam.

Ini juga menyebabkan Vazeer Alam menangguhkan prosiding hari ini kepada tarikh yang akan dimaklumkan setelah menetapkan hakim lain untuk mengetuai panel berkenaan selepas ini.

Dalam kes berkenaan, Abdul Azeez menyaman bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Sepatutnya mahkamah Rayuan hari ini mendengar rayuan Abdul Azeez terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 10 Disember 2020 yang menolak saman fitnah beliau terhadap Pengerusi DAP itu tentang skandal terowong dasar laut berbilion itu.

IMBAS KEMBALI. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS 2022.

Keputusan itu yang diadakan dalam kamar turut memerintahkan Abdul Azeez itu membayar kos RM50,000 kepada Guan Eng.

Media dimaklumkan saman tersebut ditolak atas alasan Abdul Azeez gagal mengemukakan bukti dalam tuntutan samannya.

Selaku plaintif, Abdul Azeez mendakwa Guan Eng mengaitkan beliau dengan bayaran berjumlah RM3 juta sebagai bayaran perundingan kepada pemaju bagi projek itu yang juga menyebabkan dirinya melalui penghinaan umum.

Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain memohon perintah untuk menghalang penerbitan semula kenyataan berhubung isu terowong dasar laut itu selain permintaan maaf awam dalam media. – MalaysiaGazette