Misteri ‘kehilangan’ kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali akhirnya terungkai hari ini apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan dokumen itu pada pihaknya setelah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 21 Ogos lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjelaskan, kertas siasatan tersebut tidak berada di tangannya. Sebelum itu, pada 21 Mei lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd. Nazlan telah selesai dan sudah diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut.
Persoalan mengenai status kertas siasatan itu timbul selepas penulis blog, Raja Petra Kamarudin menyiarkan dokumen yang didakwa disediakan SPRM yang menyatakan bahawa suruhanjaya itu telah menyelesaikan siasatannya.
Mohd. Nazlan pula membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat Raja Petra mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.
Pada 18 Ogos lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta SPRM tampil untuk mengesahkan atau menafikan satu laporan yang menyatakan bahawa Mohd. Nazlan telah melakukan kesalahan.
Berhubung dakwaan tersebut, ia terserah kepada hasil siasatan SPRM dan keputusan AGC untuk meneruskan pendakwaan terhadap Mohd. Nazlan sekiranya mempunyai asas untuk berbuat demikian atau sebaliknya.
Cuma agak menghairankan, apa yang sebenarnya berlaku terhadap kertas siasatan Mohd. Nazlan sepanjang Mei hingga 21 Ogos? Setelah kira-kira tiga bulan ia ghaib, akhirnya ia muncul semula.
Rakyat pasti tertanya-tanya tentang status siasatan terhadap seorang hakim yang berprofil tinggi seperti Mohd. Nazlan.
Sewaktu memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020, beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Lebih mengejutkan, Mohd. Nazlan dikatakan pernah menjadi peguam di sebuah bank yang mencadangkan penubuhan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.
Memandangkan kertas siasatan SPRM terhadap Mohd. Nazlan telah ditemukan semula, tindakan pantas wajar diambil agar nama hakim itu dapat dibersihkan sekiranya segala dakwaan oleh Raja Petra terbukti tidak benar.
Jangan dibiarkan tertangguh lama sangat agar kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem kehakiman negara tidak terhakis. – MalaysiaGazette