Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hadir pada Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 08 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kertas siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kini ada pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan kepada pihaknya selepas Jabatan Peguam Negara menelitinya untuk tindakan susulan.

“Ia ada di pejabat saya (ibu pejabat SPRM), kertas siasatan itu dengan kami dan akan ditentukan kepada satu masa kelak atas arahan Peguam Negara kemudian.

“Mungkin jawapan yang diberikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun adalah ringkas, dia mungkin bermaksud bahawa tidak ada lagi di tangan beliau.

“Namun demikian kertas siasatan itu sebenarnya telah kita kemukakan kepada beliau dan diberikan kepada kita (SPRM) balik, kemudian diberi kepada beliau balik dan hantar balik kepada kami untuk tindakan-tindakan lanjut.

“Ia masih lagi dengan kami, telah diberikan pihak beliau dan kita akan menunggu arahan lanjut kemudian untuk dibuat keputusan,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Pada 21 Ogos lalu, Peguam Negara menyuarakan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan itu tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara.

Pada Mei lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd Nazlan sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Dalam pada itu, Azam berkata, kertas siasatan itu yang dipulangkan semula kepada pihaknya adalah satu proses normal selepas dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.
“Itu normal, penguatkuasa undang-undang seperti polis, daripada perspektif kami, kita fikir kita sudah lengkap siasatan, seterusnya kami akan hantar kepada pejabat Peguam Negara.
“Selepas itu, jelas sekali Jabatan Peguam Negara akan melihatnya dan mereka akan hantar balik kepada kita untuk tindakan seterusnya,” katannya.
Ditanya tentang permintaan Peguam Negara berhubung siasatan itu, Azm bagaimanapun enggan mendedahkan perkata itu.
“Itu saya tak boleh nyatakan di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kertas siasatan Hakim Nazlan tiada dengan AGC- Peguam Negara

2 Komen

  1. Nazlan mencemarkan dan memalukan institusi kehakiman…semua org tahu konflik kepentingan dia…shame!

Comments are closed.