asyraf wajdi dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Alasan ‘kluster mahkamah’ bagi menolak kemasukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ke dalam Pakatan Harapan (PH) tidak wajar digunakan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika alasan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berada dalam kategori kluster mahkamah, parti MUDA boleh menggunakan hujah balas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng juga dalam kluster yang sama.

“Tiada alasan untuk menerima kluster mahkamah yang juga Presiden MUDA,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, Syed Saddiq berkata, MUDA berhasrat untuk menjadi salah satu daripada parti komponen PH dan keputusan itu tidak hanya berlandaskan tujuan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), malah juga mahu menjadi salah satu parti dalam blok pembangkang berkenaan.

Semalam, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, PH masih belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai hasrat MUDA untuk menyertai gabungan itu.

Syed Saddiq, 29, ketika ini berdepan perbicaraan atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Rahim melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan era Pakatan Harapan (PH) didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette