Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis dalam menumpaskan sendiket pengedaran dadah jenis ganja di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 SEPTEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Satu sindiket dadah menggunakan taktik baharu dengan menyewa satu lot parkir di kondominium mewah dan menjadikan kenderaan di situ sebagai stor simpanan dadah.

Bagaimanapun, taktik dan modus operandi mereka terbongkar apabila berjaya dihidu polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada 6 September lalu, pihaknya menahan dua lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini selepas mendapat maklumat.

Hasil pemeriksaan ke atas mereka polis berjaya melakukan rampasan satu paket plastik di dalamnya yang mengandungi dua peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 6.34 gram, satu paket plastik lutsinar mengandungi 110 biji pil hijau disyaki dadah jenis pil ekstasi, anggaran berat 42.96 gram dan satu beg berwarna merah terdapat balutan salotape dalamnya dibaluti kertas lutsinar oren mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1.038 kilogram.

“Berikutan serbuan itu, pada hari sama, polis menyerbu tempat letak kereta tingkat 2F sebuah kondominum mewah yang sama.

“Pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra berwarna Perak milik suspek di lot parkir itu berjaya menemui 45 balutan salotape mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah ganja, anggaran berat 44.085 kilogram.

“Turut ditahan seorang lagi suspek lelaki tempatan juga ahli sindiket sama di kawasan Sentul disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan jumlah keseluruhan anggaran harga rampasan dadah adalah bernilai RM115,490 bersama kereta Nissan Sentra yang digunakan untuk kegiatan aktiviti itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ujian air kencing ke atas mereka mendapati kesemuanya positif dadah Methaphetamine dan Amphetamine.

Tambah Ashari, sindiket berkenaan  bergiat aktif dalam pengedaran dadah di sekitar ibu negara sejak awal November 2021.

“Bekalan dadah berkenaan yang dirampas polis diperolehi sindiket dari negeri Kedah yang disyaki dibawa menerusi negara jiran Thailand.

“Mereka berusia antara 31 tahun hingga 32 tahun itu berurusan dengan pelanggan dadah dengan membawa sampel kepada pembeli secara dalam talian dan menjual setelah klien berpuas hati dengan kualitinya dan kita yakin ada lagi saki baki suspek dari sindiket berkenaan yang masih bebas.

“Kesemua suspek ini menjadi orang tengah atau pusher mendapatkan bekalan dan mengedar kepada pelanggan di pasaran berdasarkan permintaan kuat.

“Semakan polis ke atas mereka mendapati salah seorang suspek memiliki sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala seorang lagi dalam rekod wanted oleh polis,” katanya.

Jelas beliau, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 11 September ini untuk siasat lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ashari berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dirujuk segera kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. – MalaysiaGazette