KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan tidak mempunyai masalah sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa yang sama terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira.
“PN tidak ada masalah dan esok kalau Perdana Menteri umum bubar pun kita (parti) dah bersedia dan kekal menghadapinya.
“Tetapi penentuan ini adalah di pihak antara Perdana Menteri dengan barisan Kabinet dan dalam Kabinet ada wakil kita yang mana kuasanya dalam Perlembagaan kalau nak bubar ia tak boleh dibuat bersendirian.
“Setakat hari ini saya tidak dengar apa-apa keputusan bubar, tak tahulah kalau esok atau lusa di Kabinet dia (Perdana Menteri) buat keputusan itu terserah kepada mereka,” katanya seperti dipetik daripada laporan BH hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Ziarah Prihatin Komuniti Cina di Pekan Lenga, Pagoh hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja yang bakal mencabarnya termasuk bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim di kerusi Parlimen Pagoh.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau berlapang dada dan tidak mahu memandang rendah terhadap mana-mana pihak.
“Tak apalah sesiapa nak masuk (bertanding), ini negara demokrasi dan saya tidak mahu memperkecilkan atau mengherdik, saya okay.
“Dia (Razali) ada kebijaksanaan dia untuk menimbang dan parti dia (UMNO) akan buat buat keputusan dan apa pun saya juga di sini kalau parti saya kata bertanding lagi, saya bertandinglah lagi,” jelasnya.
Beliau mengulas laporan media tentang kemungkinan Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar akan bertanding di kerusi Parlimen Pagoh pada PRU-15.
Muhyiddin menyandang kerusi Parlimen Pagoh selama lapan penggal iaitu mulai 1978 hingga 1986 dan 1995 hingga kini.
Razali pula menyandang kerusi Parlimen Muar selama tiga penggal mulai PRU-11 hingga PRU-13 namun tewas di tangan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada PRU-14. – MalaysiaGazette
















