Khairulaming.

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial yang juga selebriti masakan popular, Khairulaming akhirnya tampil bersuara selepas terpalit dengan isu kontroversi melibatkan pengurusnya yang hangat diperkatakan di media sosial.

Menerusi hantaran di laman Twitter, Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman mengakui ‘terlepas pandang’ kerana mempercayai sepenuhnya sahabat yang menggalas tugas sebagai pengurusnya itu.

Selebriti yang terkenal dengan ungkapan Hey what’s up guys itu dengan rendah diri membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang terlibat dan mengalami ‘pengalaman buruk’ dengan pengurusnya sebelum ini.

“Saya nak personally minta maaf dengan semua pihak yang pernah berurusan dengan pengurus saya sebelum ni.

“Dia adalah sahabat saya dan saya sangat mempercayainya untuk kendalikan perkara ini tanpa betul-betul cross check kualiti kerja dia. Akhirnya banyak orang ada pengalaman buruk dengan dia selama ini,” tulisnya lelaki berusia 30 tahun itu.

Pada masa yang sama, pengasas Sambal Nyet ini tidak lepas tangan sebaliknya menggariskan beberapa langkah penambahbaikan dalam usaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan netizen.

“Berkenaan isu semalam, berikut ialah langkah ke hadapan untuk penambahbaikan. Saya telah memadamkan semua contact pengurus daripada media sosial. Buat masa ini, saya sendiri akan menguruskan segala pertanyaan sehingga ada pengganti baharu.

“Buat masa ini, saya akan berhenti membuat video untuk pelanggan termasuk produk makanan, restoran atau seminar dan lain-lain. Saya ingin menumpukan terhadap perkara yang saya suka dari tujuh tahun yang lalu, iaitu video memasak,” kongsinya.

Khairulaming juga mengambil maklum saranan yang dibangkitkan netizen yang memintanya tidak melantik seseorang dalam kalangan rakan untuk menggalas tugas berkaitan kerjayanya.

“Ramai juga yang nasihat untuk asingkan persahabatan dengan bisnes dan saya setuju benda ini yang paling sukar buat saya sebab saya bermula dari bawah dengan kawan-kawan. Saya mengambil maklum dan akan melakukan tindakan yang perlu

“Sekali lagi saya  mohon maaf kepada semua pihak yang terlibat selama ni. Saya belajar banyak hari ini dan akan cuba perbaiki lagi lain kali. Terima kasih banyak-banyak,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette