Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR –  Seorang kontraktor ditangkap selepas mengugut penyelia tapak  kerana tidak berpuas hati selepas syarikatnya tidak dilantik untuk melakukan kerja-kerja penurapan jalan sebuah sekolah di Semenyih

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan dibuat selepas wanita berusia 27 tahun itu membuat laporan polis Selasa lalu.

“Semasa mangsa berada di pejabat, dia telah terima mesej suara melalui aplikasi Whatsapp dari suspek yang dikenali.

“Di dalam mesej suara tersebut, pengadu telah dimaki hamun dengan perkataan lucah, berbaur perkauman serta ugutan daripada suspek yang akan menyerang pejabat pengadu di Taman Dagang, Ampang,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, polis turut merampas  sebuah telefon yang digunakan suspek untuk mengugut wanita berkenaan.

Katanya, hasil  ujian air kencing mendapati suspek didapati positif dadah.

Suspek juga mempunyai  lima rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Mohamad Farouk berkata, suspek kini direman empat hari sehingga Ahad ini.

Kes diklasifikasikan di bawah seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ugutan jenayah jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette