Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan pada 7 September 2022 telah sebulat suara menolak permohonan bekas Timbalan Pengarah Urusan Stone Master Corporation Berhad (Stone Master) Datin Chan Chui Mei (Chan) untuk kebenaran rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Kebenaran rayuan itu bagi keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Mac 2022, yang mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 dalam memutuskan Chan telah melanggar undang-undang sekuriti yang menyebabkan kerugian kepada Stone Master pada Mac 2016.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengambil tindakan sivil terhadap Chan pada 23 September 2016 kerana melanggar seksyen 179, 317A dan 370 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Stone Master telah memeterai perjanjian agensi bersama 23 syarikat asing untuk hak eksklusif bagi memasarkan dan mempromosikan produk mereka di Malaysia dan Singapura. Stone Master kemudian membayar RM11.59 juta dalam bentuk deposit yang tidak boleh dikembalikan kepada wakil tempatan syarikat asing.

SC mendapati RM11.54 juta daripada deposit itu kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Chan.

Pada 17 Disember 2019, Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk memihak kepada SC dan memerintahkan Chan membayar sebanyak RM12.54 juta merangkumi jumlah wang yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi beliau berserta penalti sivil sebanyak RM1 juta kepada SC.

Tambahan lagi, Chan juga telah dilarang menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai selama lima tahun.

Dalam menolak permohonan Chan untuk kebenaran merayu, Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan Chan membayar kos RM30,000 kepada SC. – MalaysiaGazette