Mengagalkan penyeludupan migran etnik Rohingya antara kejayaan Operasi Redback di perairan Pulau Pinang pada 1 September lalu.

TELUK BAHANG – Penyeludupan 60 migran etnik Rohingya dan warga Myanmar berjaya digagalkan menerusi  Operasi REDBACK XVII 2022 yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Operasi selama dua minggu bermula 26 Ogos itu turut membawa kejayaan mengusir keluar 13 bot nelayan Indonesia dari perairan negara di kedudukan 67 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya mengusir keluar 60 migran itu pada 1 September lalu di kedudukan 3.0 batu nautika barat, Sungai Pinang di sini.

Hamid.

Jelasnya, dalam operasi sama, seramai lapan Pendatang Asing Tanpa Izin warga Myanmar ditahan di sekitar perairan negeri ini atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Secara keseluruhannya Operasi REDBACK telah melaksanakan 178 pemeriksaan dan penggeladahan ke atas vesel-vesel di laut melibatkan tiga tangkapan serta dua pengusiran.

“Operasi di laut turut dilaksanakan dengan melibatkan tiga aset laut serta 60 anggota operasi.

APMM memeriksa bot nelayan asing yang memasuki perairan negara.

“Rondaan rutin, pemeriksaan serta pemantauan sempadan perairan dan titik panas terus dilaksanakan sepanjang tempoh ini,” katanya pada Majlis Penutupan Operasi REDBACK Ke-17 di Hotel Bahang Bay di sini, hari ini.

Memgulas lanjut Hamid berkata, operasi REDBACK ini merupakan satu inisiatif kerjasama antara Maritim Malaysia dan ABF di dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan yang berteraskan Memorandum Persefahaman Bersama Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia yang ditandatangani bersama pada 12 Julai 2011.

“Secara keseluruhannya kerjasama ini berfokus kepada persetujuan bersama dalam membanteras jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia termasuklah dadah serta aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan.

APMM dan ABF menyantuni komuniti maritim di Teluk Kumbar.

“Malah, dalam tempoh 14 hari Operasi REDBACK, APMM dan ABF telah melaksanakan program ‘community outreach’ dengan meyampaikan penjelasan secara santai, mengedarkan risalah dan poster, menyantuni komuniti maritim setempat di Kuala Sungai Juru, Telok Kumbar dan Kuala Sungai Pinang di sini.

“Di samping itu juga, mesej-mesej positif dan peringatan berkaitan jenayah rentas sempadan turut dipaparkan melalui ‘billboards’, banners serta poster di lokasi-lokasi strategik di sekitar Pulau Pinang,” kata beliau. – MalaysiaGazette