Peminat kumpulan popular Indonesia, Dewa 19 menunjukkan tiket Konsert Live In Kuala Lumpur sempena meraikan ulang tahun ke-30 Dewa 19 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Hujan tidak menghalang peminat kumpulan popular Indonesia, Dewa 19 membanjiri Axiata Arena Bukit Jalil untuk menonton Konsert Live In Kuala Lumpur sempena meraikan ulang tahun ke-30 Dewa 19 bermula pukul 8.30 malam ini.

Bagi melancarkan pergerakan penonton, pintu dewan konsert dibuka awal pukul 5.30 petang di mana seramai 70 anggota polis bertugas bagi menjaga keselamatan

Konsert yang dibawakan oleh Icon Entertainment itu ‘terpaksa’ diadakan selama dua hari bermula malam ini selepas tiket yang dijual malam esok ‘laku keras’ yang menyaksikan Dewa-19 akan membawa 30 buah lagu dari album seperti Dewa 19 dan Cintailah Cinta.

band popular dari Bandung itu diasaskan oleh Ahmad Dhani kemudian diperkuat dengan anggota lainnya seperti Andra serta dua mantan vokalis terkenal mereka, Ari Lasso dan Once.

Pada 18 Julai lalu, selepas lebih tiga tahun tidak beraksi di Malaysia, tiket Dewa-19 habis dijual dalam tempoh satu jam selepas dibuka di atas talian.

Berikutan itu, ramai peminat meluahkan rasa kecewa dan berharap penganjur, Icon Entertainment dapat menambah satu malam lagi agar mereka dapat menyaksikan kumpulan yang popular dengan lagu Laskar Cinta itu beraksi.

Suasana sekitar perkarangan Axiata Arena Bukit Jalil yang dibanjiri peminat kumpulan popular Indonesia, Dewa 19 bagi menonton Konsert Live In Kuala Lumpur sempena meraikan ulang tahun ke-30 Dewa 19 di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.

Sementara itu, kali terakhir Dewa 19 mementaskan konsert adalah di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2019 namun tanpa kehadiran Ahmad Dhani.

Melancarkan siri jelajah menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan band itu, Dewa 19 sudah memulakan siri konsert di Indonesia dan menjadikan Kuala Lumpur antara destinasi persinggahan.

30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu, itu slogan ringkas namun cukup padat disampaikan kepada peminat yang tidak sabar menantikan kemunculan Dewa 19 di Malaysia.

Sempena konsert jelajah mereka itu, Dewa 19 turut melakar sejarah apabila buat kali pertama menghimpunkan empat vokalis handalan atas satu pentas iaitu Ari Lasso, Once Mekel, Virzha dan terkini, Ello. – MalaysiaGazette

Suasana sekitar perkarangan Axiata Arena Bukit Jalil yang dibanjiri peminat kumpulan popular Indonesia, Dewa 19 bagi menonton Konsert Live In Kuala Lumpur sempena meraikan ulang tahun ke-30 Dewa 19 di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2022.