Tengku Zafrul Abdul Aziz Kuala Selangor
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA SELANGOR – Kerajaan optimis keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara bagi suku ketiga tahun ini akan menunjukkan pertumbuhan yang kukuh berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi semasa yang positif setakat ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keyakinan itu selari dengan kadar pengangguran yang mencatatkan penurunan kepada 3.7 peratus pada Julai, berbanding 3.8 peratus sebelumnya..

Beliau berkata kadar itu juga adalah lebih baik berbanding semasa tempoh pandemik iaitu dalam lingkungan 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Ini menunjukkan trend yang bagus, selari dengan pertumbuhan ekonomi yang masih lagi menunjukkan pertumbuhan positif,” katanya.

“Seperti yang kita sedia maklum, pertumbuhan KDNK pada suku kedua 2022 menunjukkan pertumbuhan cemerlang berbanding unjuran sebelum ini iaitu 8.9 peratus,” katanya kepada media selepas melancarkan Majlis Perasmian Program Karnival Gegar Kerjaya 2022, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Okt nanti, kerajaan akan menumpukan kepada empat isu utama iaitu rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan.

“Kita mahu 2023 menjadi tahun kita nak buat a lot of reform (banyak pembaharuan).

“Bagi ekonomi global pada 2023 yang dijangka lebih mencabar, negara kita harus lebih bersedia untuk melakukan langkah yang betul dan unjuran ekonomi pada tahun hadapan adalah bergantung kepada keadaan ekonomi global,” katanya.- BERNAMA