KUALA LUMPUR – Rekod kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang membuktikan Pakatan Harapan (PH) cakna permasalahan rakyat dengan pelbagai inisiatif dilakukan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH merupakan medium terbaik dalam menterjemah aspirasi rakyat keseluruhan yang kini dihimpit pelbagai permasalahan ekoran kegagalan kerajaan pusat.
“Saya tegaskan bahawa anak muda harus mainkan peranan yang lebih baik dalam mencorak politik norma baharu yang lebih berprinsip dan berintegriti.
“Rakyat khususnya anak muda telah muak dengan sikap pemerintah yang hanya mementingkan kepentingan mereka,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Beliau yang juga Presiden PKR mengulas tentang program Pentas Angkatan Muda yang dihadirinya di Taman Medan, Petaling Jaya, malam tadi. – MalaysiaGazette