Wee Ka Siong (dua dari kanan) bercakap pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak di Pulau Pinang hari ini.

BAYAN BARU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan, pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Pulau Pinang membabitkan parti komponen Barisan Nasional (BN) masih dalam peringkat rundingan.

Bagaimanapun, jelas beliau, MCA mungkin akan mengambil alih sebahagian besar kerusi milik Parti Gerakan ketika mereka berada dalam ‘payung’ BN.

“Secara tradisi kerusi Parlimen kita ada satu tetapi selepas Gerakan tidak lagi bersama kita, sudah tentu kita akan berbincang dengan parti komponen, kita pasti akan berentap.

“Secara logiknya, kita akan mengambil alih kerusi yang ditandingi Gerakan sebelum ini, kalau tidak keseluruhan pun, mungkin sebahagian besar yang tertumpu kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk Cina.

Wee Ka Siong (tengah) bersama komponen parti BN pada Majlis Perasmian Pelancaran Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak di sini.

“Bagaimanapun, soal siapa yang akan mendapati kerusi itu akan dimuktamadkan oleh parti dengan cara rundingan bersama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak hari ini.

Untuk rekod, BN menempatkan 13 calon bagi kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14. – MalaysiaGazette