Wee Ka Siong (depan) menurunkan tandatangan pada majlis Perasmian Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Pantai Jerejak di Persiaran Bukit Jambul, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN BARU – Parti MCA meminta rakyat Pulau Pinang tidak memberikan kemenangan mudah kepada DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan suara semak dan imbang dalam kerajaan negeri.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, teori itu digunakan pakai DAP supaya Barisan Nasional (BN) tidak mengecapi kemenangan mudah dalam beberapa PRU sebelum ini.

Jelas beliau, pihaknya sedia menjadi pembangkang sekiranya diberi mandat oleh rakyat  dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.

Wee Ka Siong.

“Kalau kita menang, kita tak jadi pemerintah kerana realisitiknya kita kena lihat kawasan ini kubu kuat Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP tapi tak apalah sebagai pembangkang pun kita ada pengalaman.

“Kita tidaklah bersifat angkuh tapi kita realistik, kalau betul kita menang di sesuatu kawasan belum cukup membentuk kerajaan kita jadi pembangkang pun tidak apa.

“Dulu DAP sendiri cakap jangan bagi BN memang besar, jadi saya guna teori mereka supaya dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan prinsip demokrasi perlu ada suara semak dan imbang.

“Saya guna teori itu agar tidak memberi satu kemenangan mudah buat mereka (DAP),” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak hari ini.

Hadir sama Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng.

Saw Yee Fung (kanan£m) dilantik sebagai Penyelaras MCA Parlimen Bayan Baru manakala Yeoh Chin Kah sebagai Penyelaras DUN Pantai Jerejak.

Terdahulu, Saw Yee Fung dilantik sebagai Penyelaras MCA Parlimen Bayan Baru manakala Setiausaha MCA negeri, Yeoh Chin Kah pula dilantik sebagai Penyelaras DUN Pantai Jerejak.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk menang di kubu kuat DAP namun ia merupakan satu matlamat jangka pendek dan panjang bagi partinya.

“Ada orang kata, kerajaan DAP ini agak kuat kerana kita tidak pernah menang mana-mana kerusi dan kemenangan pun mungkin di beberapa kawasan. Bagi saya, ia boleh dianggap satu matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Sebab itu, kita melantik penyelaras untuk mendekati rakyat selain dilatih menjadi sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan.

“Mereka juga berperanan untuk memberi tekanan kepada pemerintah bagi mendedahkan sesuatu yang rakyat perlu tahu malah saya sendiri pernah jadi pembangkang 22 bulan, itu tiada masalah,” katanya. – MalaysiaGazette