KUALA LUMPUR – Kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman lebih-lebih lagi berkaitan keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah berdasarkan sentimen semata-mata.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, berdasarkan komen dan serangan tersebut, ahli politik dan masyarakat didapati tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang.
Ia sekali gus membawa kepada kenyataan dan ulasan yang tidak relevan.
“Pandangan peribadi saya, komen dibuat oleh orang yang tidak faham, yang menunjukkan kurang kefahaman mereka adalah kerana mereka tidak membaca alasan penghakiman.
“Apabila tidak baca, tidak faham. Bila tidak faham, akan membuat komen yang tidak sesuai dan relevan dengan isunya.
“Keseluruhannya bolehlah dikatakan ia berdasarkan sentimen semata-mata tanpa berdasarkan kefahaman tentang undang-undang dan alasan penghakiman itu sendiri. Keputusan mahkamah itu sendiri tidak difahami dengan sebenarnya,” katanya seperti dipetik daripada laporan BH hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan 2022 Kali Ke-2 anjuran Majlis Peguam Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tengku Maimun diminta mengulas serangan terhadap institusi kehakiman oleh beberapa pihak ketika ini, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Beliau menyarankan kepada ahli politik dan masyarakat agar membaca dan memahami sesuatu isu serta bertanya pada pakar sebelum membuat kesimpulan.
Tengku Maimun menambah, tindakan membuat kesimpulan dan kenyataan tanpa pemahaman adalah tidak adil dan hanya akan mencetuskan situasi yang huru-hara.
“Jika tidak faham, tanya. Jika sudah baca (alasan penghakiman) dan tidak faham, tanya pada individu yang tepat. Jangan begitu mudah membuat kesimpulan tanpa kefahaman penuh. Ini perkara asas.
“Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham. Ia akan menyebabkan huru-hara pada semua perkara.
“Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan Majlis Peguam dalam memperbetulkan persepsi dan menjelaskan mengapa mahkamah membuat sesuatu keputusan. – MalaysiaGazette