Takiyuddin menghadiri Program Penanaman Pokok dan Pengayaan di Tasik Chini di Kuantan Pahang hari ini.

PEKAN – Status Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak terjejas.

Ia ekoran dakwaan pihak tertentu ada aktiviti menjejaskan kualiti airnya baru-baru ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, status itu tidak terjejas namun hanya diberi saranan penambaikkan oleh UNESCO.

Menurutnya, UNESCO juga tidak memberi sebarang teguran sebaliknya mencadangkan saranan pembaikan ke atas Tasik Chini bagi mengekalkan status biosfera itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Jelasnya satu laporan lengkap sudah disiapkan oleh pihak Kerajaan Pahang bagi diserahkan kepada pihak pusat UNESCO di Paris sebelum 30 September nanti.

“Tiada apa pelanggaran tetapi mereka meminta kita membuat penambahbaikan untuk memastikan ciri-ciri yang ada bagi sebuah biosfera yang diitiraf ini.

“Status UNESCO tidak terjejas dan pihak kita akan memberi penjelasan yang ditentukan menerusi gambar, fakta dan catatan yang dimasukkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Program Penanaman Pokok dan Pengayaan di Tasik Chini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Takiyuddin berkata laporan berkenaan akan diserahkan sendiri oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi  Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Kerajaan menerusi kementeriannya telah mengambil tindakan menambah pembaikkan ke atas Tasik Chini seperti melakukan usaha penghijauan bumi.

“Contohnya melakukan penghijauan bumi sendiri kesan daripada tanah yang tidak ada pokok jadi kita tanam pokok litupan bumi, kemudian pokok berkayu yang ditanam dan dimasukkan dalam statistik penanaman 100 juta pokok.

“Ada pihak yang mendakwa aktiviti oleh pihak tertentu telah menjejaskan kualiti air tetapi jabatan berkaitan telah menghentikan segala aktiviti  aktiviti perlombongan.

“Lesen-lesen perlombongan telah diberikan moratariun, mereka tidak boleh melakukan aktiviti pelombongan yang menjejaskan kualiti air dan sebagainya,” katanya.

Tambah Takiyuddin, satu kumpulan kajian oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia memberi nasihat dan cadangan usaha bagi menjalankan pemuliharaan Tasik Chini selain kerajaan telah bersetuju memberi memberi peruntukan melalui kementerian dan kerajaan negeri.

Tasik Chini, Pahang yang berkeluasan 6,922.97 hektar merupakan Tapak Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia yang diiktiraf UNESCO di bawah Program Man and the Biosphere  pada 26 Mei 2009.

Selain Tasik Chini, Malaysia turut mendapat pengiktirafan UNESCO bagi Banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.

Pada masa ini terdapat 738 Tapak Rizab Biosfera di 134 buah negara di seluruh dunia.- MalaysiaGazette