GEORGE TOWN – Parti DAP memberi bayangan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Foke berkata, pertambahan kerusi itu disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan lagi parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“PRU15 nanti sudah tentu ada perbezaan sebab parti komponen dalam PH sendiri sudah berbeza.
“Memandangkan dulu ada kerusi-kerusi yang ditandingi Bersatu jadi ada perbincangan dari segi pertambahan kerusi bagi menentukan mana satu parti dalam komponen PH akan ambil alih kerusi tersebut.
“Selama ini kita hanya bertanding 19 daripada 40 kerusi (DUN) tapi kemungkinan pada PRU15 lebih daripada itu. Bagaimanapun semua perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan parti komponen lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DAP Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow serta veteran DAP, Lim Kit Siang.
Mengulas mengenai calon serta pembahagian kerusi di negeri ini, Loke berkata, parti itu tiada akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut sehingga Parlimen dibubarkan.
“Pembahagian kerusi pun belum diputuskan setakat ini kerana peringkat negeri masih menjalankan perbincangan mengenainya.
“Sama juga bagi calon muka baru ia belum diputuskan tapi semestinya tradisi DAP meletakkan calon muka baru dalam PRU,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Anthony Loke memberitahu DAP menaruh harapan untuk memenangi 100 peratus kerusi yang ditandingi sekali gus mengulangi pencapaian parti itu selama tiga penggal berturut-turut.
“Sudah tentu ia adalah satu cabaran kepada untuk mencapai kejayaan sepenuhnya jadi pada PRU-15 kita menaruh harapan ini juga sasaran kita dan ia tidak mudah,” katanya. – MalaysiaGazette