Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Sebuah helikopter Eurocopter yang dikendalikan oleh syarikat tempatan untuk penerbangan peribadi dengan seorang juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari tadi.

Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11.37 pagi ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, helikopter milik swasta itu dijadualkan mendarat pada jam 12.37 tengah hari.

”Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Polis Diraja Malaysia di Bidor telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sebuah helikopter yang terputus hubungan pada jam 12.16 tengah hari tadi.

”CAAM akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Operasi mengesan helikopter itu akan diketuai oleh CAAM dengan bantuan polis untuk mencari bangkai helikopter tersebut.

“Kalau mengikut radar, helikopter ini sudah berada di atas tanah di dalam hutan. Kita memerlukan bantuan polis untuk melakukan pencarian laluan darat dan polis telah melakukan terbaik membantu kita.

“Pada masa ini, kita tidak boleh buat andaian kerana kita masih belum tahu keadaan secara terperinci.

“Pasukan penyelamat perlu melakukan kerja-kerja penyelamat terlebih dahulu jika kita sudah mengenal pasti lokasi,”  ujarnya dalam satu sidang media.

Sehubungan itu, Ka Siong meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar pasukan penyelamat berjaya dalam misi SAR ini.

Difahamkan hanya seorang juruterbang sahaja yang ada dalam penerbangan tersebut. – MalaysiaGazette