Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Mata pelajaran Pendidikan Islam (PI) di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dikekalkan dan dikembalikan statusnya sebagai kursus pengajian wajib.

Ini kerana, pembaharuan yang dimasukkan telah berubah, malah, kandungan dalam silibus PI diperkecilkan secara beransur-ansur sehingga tujuan asal ia diwujudkan di IPT dipinggirkan

Sedangkan, Pendidikan Moral (PM) untuk bukan Islam dijadikan sebagai mata pelajaran wajib sejak 1996, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

“Mata Pelajaran PI dengan komponen akidah, syariah dan akhlak yang ditawarkan kepada pelajar Muslim khasnya melalui Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah melalui perubahan dalam tempoh yang singkat daripada kandungan 100 peratus (1996) dianggarkan menurun kepada 25 peratus (1998) menjadi 10-15 peratus (2003).

“…dan pada 2019 ia terus mengurang kepada sekitar lima peratus sahaja. Jika tren ini berterusan, PI akan lenyap sama sekali sebagai silibus pengajian wajib di IPT,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi menegaskan, bersandarkan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, falsafah Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pengenalan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di IPT diputuskan sebagai komponen penting dalam proses pembangunan modal insan.

Malangnya, tujuan PI dan PM yang diperkenalkan di IPT kini beransur-ansur dipinggirkan dan kekhuatiran adalah PI sebagai komponen membentuk sahsiah Muslim dalam kalangan pelajar IPT di negara ini akhirnya akan lenyap, katanya.

“Kami mengingatkan bahawa PI tidak boleh dihentikan selepas pendidikan peringkat sekolah menengah dalam proses membentuk watak Muslim yang kukuh dalam kalangan generasi muda.

“Ini berasaskan kepada falsafah pendidikan kebangsaan, pendidikan untuk membina sahsiah pelajar adalah suatu proses berterusan, ia tidak boleh terhenti diperingkat sekolah sahaja,” ujarnya.

Katanya lagi, matlamat untuk menjadikan IPT di negara ini sebagai institusi yang melahirkan insan Muslim yang kukuh akidah, syariah dan akhlak akan terungkai jika PI untuk pelajar secara serius dan konsisten tidak diberi perhatian seperti yang termaktub dengan jelas dalam Seksyen 50 dan Seksyen 75, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Tambahnya, menyisih dan meminggirkan silibus dan disiplin ilmu Islam dalam PI yang teratur, sistematik dan berwibawa di IPT akan menghilangkan integriti dan falsafah PI sebagai kursus yang amat sentral dalam proses pembentukan Muslim yang utuh.

“Kami mengesa agar PI di IPT dikekalkan, diperkukuh silibusnya dan dikembalikan statusnya sebagai kursus pengajian wajib.

“Memperkenal pengajian hubungan antara kaum tidak harus mengganti kedudukan dan kandungan silibus PI yang asal.

“Malah kami berpendirian bahawa langkah mencairkan PI dengan memasukkan silibus lain adalah langkah yang bercanggah dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996,” katanya. – MalaysiaGazette