Gambar hiasan

SANDAKAN – Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan hari ini menemukan kepala seorang mangsa lelaki yang hilang dipercayai diserang dan dibaham buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntor, dekat Taman Kenari di sini, Jumaat lepas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata, kepala mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 7.30 pagi tadi, dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan seorang lelaki dewasa hanya dikenali sebagai Abdul, disyaki dibaham buaya pada kira-kira 6 petang Jumaat di sungai kawasan setinggan itu.

“Mangsa dikatakan menaiki rakit yang diperbuat daripada buluh cuba menyeberangi sungai untuk ke rumahnya yang terletak 100 meter dari tebing sungai.

“Ketika sedang menyeberangi sungai, mangsa disyaki disambar oleh seekor buaya dan sempat menjerit meminta tolong, namun hilang daripada pandangan saksi,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast