Azmi menyerahkan borang tuntutan kepada Majlis Senator Malaysia (MSM) .

KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa telah menerima 228,842 aduan daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh Malaysia yang menuntut pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) Azmi Mohd Tahir meminta supaya semua Ahli Parlimen untuk membawa tuntutan tersebut ke Dewan Rakyat.

Ia selaras dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat dengan Majlis Senator Malaysia (MSM) pada 15 Ogos di bangunan Parlimen yang membincangkan tuntutan itu.

“Pada mesyuarat ini, MSM telah menyatakan sokongan kepada tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 dan meminta PGIR untuk mendapatkan sokongan dari semua Ahli Parlimen Malaysia untuk diusulkan di Dewan Rakyat.

“Oleh itu, kami mewakili pencarum seluruh Malaysia yang telah membuat aduan kepada PGIR ingin meminta sokongan dari pihak Yang Berhormat dan menjadi wakil kepada suara rakyat di Parlimen.

“Kerana Yang Berhormat telah dipilih oleh rakyat Malaysia dan mempunyai tanggungjawab untuk mendengar segala rintihan dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyerahan surat empat usul cadangan tuntutan KWSP 2.0 bersasar kepada Timbalan Menteri Kewangan pada 15 Ogos 2022.

Azmi berharap Menterian Kewangan dapat memberi maklum balas untuk membincangkan permohonan terbabit secara konstruktif dengan segera.

Empat kategori yang berhak untuk melakukan pengeluaran tersebut antaranya surirumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak aktif lagi mencarum.

Bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja, berhenti secara sukarela, baru berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar untuk mendapat pekerjaan disebabkan faktor usia dan kesihatan.

Pencarum B40 dan M40 yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20 ribu dibenar mengeluarkan 30 peratus daripada akaun itu mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Pencarum B40 dan M40 yang masih aktif mencarum dan mempunyai baki simpanan di Akaun 1 kurang RM20 ribu dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki sebanyak RM200 di dalam akaun 1 dan 2.

“Di dalam tuntutan ini kesemua kategori pencarum yang di atas bakal mendapat manfaat tidak kira usia dari 54 tahun dan ke bawah selagi mempunyai baki simpanan seperti ketetapan yang di atas,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast