ALOR SETAR – Kira-kira 13 kereta serta motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Jalan Stadium di sini, musnah dalam satu kebakaran hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kebakaran membabitkan bangunan bengkel kenderaan, pejabat pengangkutan IPK Kedah itu berlaku pada jam 4.45 pagi.
Bagaimanapun, jelas beliau, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan ataupun kehilangan nyawa.
“Sebanyak 13 buah kenderaan milik PDRM musnah dalam insiden itu.
“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Bomba Kedah dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.53 pagi.
“(Sebanyak) 80 peratus bangunan itu terbakar selain beberapa kenderaan milik pasukan beruniform tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette