KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu sebanyak 46 keping cek membabitkan nilai sebanyak RM10.3 juta telah dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan akaun Ambank peribadinya yang berakhir dengan nombor 694.
Cek itu telah diberikan oleh bekas Perdana Menteri itu kepada orang persendirian termasuk bekas menteri, pemimpin UMNO, yayasan tertentu dan syarikat sekitar Februari hingga Disember 2011, kata saksi ke-37, R. Uma Devi dari Ambank.
Antara yang disebut oleh saksi yang juga Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan itu pihak yang menerima dana daripada Najib termasuklah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menerima RM100,000 dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan sebanyak RM200,000.
Selain itu individu lain yang menerima cek termasuklah Fakhruddin Ariff (RM30,000); Idris Abu Bakar (RM50,000); Abu Bakar Harun (RM30,000); Ishak Mohamad (RM30,000); Melati Ali (RM39,500); Minah Wee Wat (RM5,000) dan Baijuri Faudzi (RM50,000).
Bagi pertubuhan politik pula UMNO Bandar Tun Razak menerima RM200,000 dan UMNO Indera Mahkota menerima RM200,000.
Selain itu, entiti lain yang menerima cek dari Najib ialah Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd; Orb Solutions Sdn Bhd; Qalif Umar Creative; Institut Terjemahan Negara Malaysia; Yayasan Rahah; Koperasi Wanita Pahang Berhad; Signature Exotic Cars Sdn Bhd; Shangri-La Hotel; Multi-Trans Sdn Bhd; Binsabi Sdn Bhd; World Vantage Enterprise; Zas Car Network Sdn Bhd; Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd; Icah Enterprise dan Jakel Trading.
Najib juga telah menyerahkan RM2 juta kepada Yayasan Tun Rahah pada tahun itu.
Saksi juga mendedahkan Najib menerima RM1.25 juta pembayaran faedah yang dikreditkan ke akaun simpanan peribadinya berakhir dengan nombor 694 pada 2011 sahaja.
“Saya sahkan beberapa kemasukan melibatkan faedah bagi 2011 dan jumlah yang diterima adalah berbeza- beza mengikut baki semasa akaun pada setiap bulan. Kod 202000 yang tertera di dalam status setiap transaksi kemasukan faedah,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam.
Untuk makluman akuan peribadi Najib di buka pada 13 Jan 2011 dan ditutup pada 30 Ogos 2013.
Dalam pada itu, Uma Devi juga menafikan Najib pernah membuat sebarang aduan kepada AmIslamic Bank mengenai transaksi dalam akaun miliknya walaupun selepas bank itu menghantar penyata akaun setiap bulan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ditamatkan lebih awal dan bersambung pagi esok memandangkan Najib mengalami alahan teruk akibat ubat tekanan darah dan dirawat di hospital.
Najib kini menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pekan itu dikekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang juga merupakan anak syarikat 1MDB sebanyak RM42 juta bulan lepas. – MalaysiaGazette