Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Pas Perak masih meletakkan harapan agar UMNO negeri itu berlapang dada dan mengutamakan agenda kepentingan ummah serta rakyat daripada politik kepartian.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, pihaknya mengharapkan perbincangan dapat diadakan dalam konsep kerjasama dan tolaransi di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak menguntungkan Melayu Islam jika berlaku pertembungan.

“Kita berpegang dengan kaedah feqah, jika tidak dapat melakukan semua perkara, jangan tinggalkan semua.

“Bagi Pas, kepentingan umat Islam, bangsa Melayu dan kestabilan politik antara yang lebih utama dari keegoan partisan dan kepuakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata, parti itu akan tetap meneruskan agenda penyatuan ummah di sebalik pelbagai halangan yang ada ketika ini.

Tegas beliau, seruan itu tidak pernah padam, malah usaha ke arahnya terus dilakukan dalam pelbagai cara, biarpun ada pihak dalam UMNO yang cuba menggagalkannya.

Mengulas lanjut, Razman menyambut baik keputusan mesyuarat Pas Pusat untuk memperkasakan agenda perpaduan ummah.

Ujar beliau, keputusan untuk terus menjadikan UMNO sebagai rakan taawun membuktikan Pas mengutamakan perpaduan dalam politik sesuai prinsip Islam yang menjadi teras pegangan perjuangan parti itu.

“Kita juga menyedari keputusan UMNO Perak yang menolak kerjasama dengan Pas dalam PRU15. Keputusan ini dilihat sebagai tindakan yang membelakangkan kepentingan ummah dan membuka peluang DAP berkuasa.

“Kita menyedari kedudukan posisi kerusi DUN yang tidak seimbang dan akan merugikan kepentingan rakyat Perak khasnya umat Islam dan orang Melayu.

“Pakatan Harapan (PH) pastinya akan meneruskan agenda mereka yang terhalang dalam kerajaan yang lalu khasnya pemilikan tanah 999 tahun,” katanya.

Beliau berharap, PRU15 ini akan berlaku satu lawan satu berkonsep penyatuan ummah parti Melayu dan bukan Melayu yang tidak ekstrem dengan menolak konsep jajaran baru serta khemah besar. – MalaysiaGazette