Seorang pensyarah sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen atas sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu yang membabitkan bayaran sewa kenderaan dan pembelian peralatan geologi berjumlah RM12,488 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu yang melibatkan bayaran sewa tiga kenderaan pikap dan pembelian peralatan geologi berjumlah RM12,488 empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Jasmi Hafiz Abdul Aziz, 45, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu selepas dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Jasmi yang berbaju lengan panjang berwarna kelabu dan berseluar hitam serta memakai topi yang ditemani kakaknya selaku penjamin.

Menurut kertas pertuduhan, beliau sebagai pensyarah derengan niat memperdayakan Jabatan Bendahari, Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan tujuh tuntutan perjalanan palsu berkenaan bayaran sewa tiga jenis kenderaan 4WD-Ford Ranger (pacuan empat roda) bertarikh antara 24 April 2018 hingga 29 Julai 2019 yang mana penyewaan itu tidak dibuat.

Jasmi juga menghadapi pertuduhan memperdayakan Jabatan Bendahari UM dengan membuat dua resit palsu berkaitan pembelian peralatan geologi bertarikh 19 Januari 2019 dan 23 Mac 2019.

Pensyarah itu dituduh melakukan kesemua kesalahan tersebut di Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM antara 29 Mei 2018 hingga 23 Ogos 2019 di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, Jasmi mengaku tidak bersalah ke atas sembilan pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai resit rasmi tulen untuk pembayaran sewaan kenderaan pikap dan membeli peralatan sama yang mana tertuduh mempunyai sebab bahawa ia adalah palsu membabit jumlah wang yang sama.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu Timbalan Pendakwa Raya Abd. Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan wang jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya setiap bulan dan pasport beliau perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguambela Jasmi,  Wan Shahrizal Wan Ladin merayu agar jumlah wang jaminan dikurangkan pada kadar minimum memandangkan tidak wujud unsur tertuduh melarikan diri sedangkan beliau telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan SPRM.

“Yang Arif tertuduh masih lagi berkhidmat sebagai pensyarah tanpa sebarang penggantungan kerja oleh majikan dan menanggung isteri dan seorang anak berusia 11 tahun yang masih bersekolah,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetap kesemua syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Hakim itu menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette