KOTA BHARU – Ketika parti gabungan terbesar Melayu dan Islam iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sibuk dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Putra Kelantan melalui Gerakan Tanah Air (GTA) mempunyai kaedah tersendiri untuk menarik sokongan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Putra negeri, Asmeri Che Ali berkata, parti itu selain menumpukan kempen memberi penerangan mengenai kelemahan kerajaan Pas, turut menampilkan barisan kepimpinan yang bersih dan berintegriti.
Katanya, Putra dan GTA kini mula menjadi pilihan rakyat selepas mereka dikecewakan cakap tak serupa bikin kerajaan Pas dan UMNO pula langsung tidak mempedulikan masalah dihadapi.
“Kita tidak akan ikut rentak PN dan PH. Putra dan GTA ada acara dan kaedah tersendiri dalam usaha menarik sokongan rakyat pada PRU15 ini.
“Sebenarnya, kita telah bersedia bila-bila masa jika PRU dipanggil awal, kerana sebelum GTA ditubuhkan, Putra sudah lama turun mendampingi rakyat.
“Sekarang apabila sudah ada gabungan yang dinamakan GTA, kita bergerak secara berkumpulan dan nampaknya rakyat semakin menerima kehadiran dan kewujudan kita,” katanya kepada MalaysiaGazette di Kota Bharu, hari ini.
Menurut Asmeri, Putra kini rancak turun ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kelantan, bahkan Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali turut berjumpa rakyat setiap minggu.
Katanya, kemunculan GTA yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah tepat pada masanya ketika rakyat Kelantan tidak lagi mempunyai parti yang boleh membela nasib mereka.
“Pas dan UMNO silih berganti memerintah Kelantan, tetapi tidak ada apa yang boleh dibanggakan. Masalah bekalan air bersih berlarutan puluhan tahun, isu tanah makin menghantui penduduk.
“Jadi, kepada siapa lagi rakyat nak bergantung harap? Harap selepas ini rakyat Kelantan membuat pilihan tepat dan bijak dengan memberi kemenangan kepada Putra dan GTA,” katanya. – MalaysiaGazette