Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – “Saya akan pertahankan kawasan saya untuk Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) ini”, itu kata Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Kita tidak boleh memperjudikan kerusi-kerusi menang ini dengan meletakkan calon yang tidak sewajarnya. Kalau ada calon-calon lain pun boleh menyertai sama dan boleh menang dengan syarat turun ke padang sekarang.

“Kalau bila sudah umum nama, baru nak turun padang tak bolehlah. Saya nasihatkan kalau siapa teringin atau ada keinginan nak bertanding kena muncul sekarang. Macam saya dah mula buat kerja, setiap hari saya ulang balik Perlis untuk mengatur gerak kerja di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Amboi! Lakar Seni Malaysia 2022 di sini hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (dua kanan) diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (kanan) ketika melancarkan gimik pelancaran pada Program ‘Amboi’ Lakar Seni Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad Jalan Raja, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 SEPTEMBER 2022.

Bagaimanapun, Sahidan berkata, penentuan nama calon di sesuatu kawasan akan ditetapkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Terdahulu beliau ditanya mengenai status sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau untukĀ  atau bersedia meletakkan calon muka baharu di kerusi itu.

Dalam pada itu, Shahidan turut mengajak calon muka baharu atau mereka yang ingin bertanding di Perlis turut sama menyertainya mendekati jentera parti bagi persediaan pilihan raya nanti.

“Sekarang ini jentera sudah mesra dengan kita , takut nanti calon tak dapat sokongan jentera. Mereka tidak rela dengan (calon) payung terjun. Banyak kali, di Perlis payung terjun.

“Mereka yang berstatus macam ini kadang kala tidak kisah sama ada orang akan terima atau tidak tetapi ia akan merugikan parti kita”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, walaupun sibuk menguruskan gerak kerja di kawasannya namun tugasnya di Wilayah Persekutuan turut diutamakan. – MalaysiaGazette