KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad diyakini berupaya menggunakan pengaruhnya untuk menarik sokongan lebih 25 peratus pengundi Melayu atas pagar terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, bekas Perdana Menteri itu berjaya menarik sokongan hampir 15 peratus pengundi Melayu atas pagar pada PRU-14.
Menurut beliau, walaupun pada 2018 ramai orang Melayu marah serta kecewa kerana Dr. Mahathir bergabung dengan DAP serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengaruh Ahli Parlimen Langkawi itu tetap kuat untuk menarik sokongan mereka.
“Pada PRU-15 ini, naratif wadah perjuangan GTA yang diterajui oleh Dr. Mahathir amat jelas untuk menyatupadukan seterusnya memperkasakan semula bangsa Melayu setakat ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dari akar umbi.
“Agenda Melayu Dr. Mahathir bagi menjamin maruah keseluruhan orang Melayu dimartabatkan semula di tempat yang sepatutnya di samping menghormati hak kaum asing sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan amat disenangi oleh semua pihak.
“Tambahan pula, GTA telah membuat satu pendirian tegas untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Anwar akan meningkatkan pengundi Melayu atas pagar untuk menyokong wadah perjuangan Dr. Mahathir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Khairuddin menambah, gerak kerja di lapangan mendapati sambutan rakyat terhadap program-program GTA amat baik dan menerima reaksi positif.
Beliau memberitahu, agenda memperkasakan dan menebuskan maruah Melayu akan tetap dipikul oleh GTA sebagai satu fardu kifayah ke arah memajukan semula anak bangsa di samping menjaga hak kaum lain secara adil serta saksama bagi mewujudkan suasana kehidupan aman damai.
“Maruah orang Melayu mesti ditebus serta kejayaan anak bangsa dalam semua sektor harus diperkasakan semula. Hanya GTA yang mampu memimpin negara ini secara bersih, cekap dan amanah kerana Dr. Mahathir kekal berprinsip dulu, kini serta selamanya,” jelasnya.
Khairuddin berkata, perjuangan Dr Mahathir amat konsisten dan tidak pernah menipu untuk menegakkan kebenaran demi kesejahteraan masa depan bangsa dan negara.
Beliau menjelaskan, kepentingan kesejahteraan bangsa, negara dan agama adalah agenda utama dalam kehidupan Dr. Mahathir.
“Kehidupan Dr Mahathir dapat diibaratkan seperti ‘sebatang lilin’ yang sentiasa ‘membakar dirinya’ untuk menerangi kehidupan orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette