najib razak
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengimbau kembali pelaksanaan Program Dermasiswa yang pernah dilaksanakan ketika pentadbirannya yang memberi manfaat kepada semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum.

Sebelum itu, beliau memberitahu, pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang SPM merupakan salah satu isu yang menjadi ‘acara tahunan’ ekoran masalah legasi berkaitan tuduhan kuota, dasar perkauman, kabel kuat dan orang dalam.

Najib berkata, satu keputusan yang jelas dibuat oleh pentadbirannya mulai 2010 dan 2011 yang mana semua pelajar cemerlang SPM dengan keputusan 9A+ menerima bantuan di bawah Program Dermasiswa secara automatik dan dilaksanakan sehingga 2018.

“Satu ketika dahulu, 1Malaysia. Datang membantu…. tidak dihargai. Kemudian berlalu pergi, dihantar jauh dari kami,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas tentang ciapan Twitter Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr. Thanussha Xavier yang mendakwa, golongan bukan bumiputera seolah-olah dipinggirkan termasuk daripada segi kemasukan ke universiti walaupun mereka memberi sumbangan besar kepada negara.

Dr. Thanussha turut mendakwa, golongan bukan bumiputera dilayan seperti warganegara kelas kedua di negara sendiri.

Beliau memberi komen terhadap ciapan Twitter pemain hoki wanita kebangsaan, Kirandeep Kaur pada 8 September lalu yang kesal kerana gagal mendapatkan biasiswa walaupun beroleh keputusan 9A dalam SPM serta CGPA 3.88 untuk program matrikulasi.

Thanussha
Ciapan Twitter Dr. Thanussha Xavier dan Kirandeep Kaur.

“Namun, sukar bagi saya untuk memasuki mana-mana universiti. Saya rasa sangat tidak dihargai,” katanya melalui akaun Twitter @kiran_johl29.

Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) yang membalas ciapan Twitter tersebut pada hari yang sama menyatakan, pihaknya dimaklumkan menerusi keluarga Kirandeep bahawa permohonannya secara terus untuk mengikuti pengajian perubatan melalui kemasukan persendirian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditolak kerana keputusannya tidak melayakkan beliau mengikuti pengajian perubatan.

MSN menambah, semakan Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) juga mendapati Kirandeep telah secara terus mengemukakan permohonan ke Unit Pusat Universiti (UPU) dan keputusan penempatan ke universiti tempatan hanya akan diketahui mulai 25 hingga 27 September ini.

“MSN menerusi MACE sentiasa menyediakan bantuan untuk atlet kebangsaan yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi,” katanya. – MalaysiaGazette