GENEVA – Sekurang-kurangnya 17 juta orang di Eropah mengalami Covid-19 dalam tempoh dua tahun pertama pandemik itu, dengan ramai yang masih bergelut dengan gejala berpanjangan (long covid).
Wanita kemungkinan alami dua kali ganda gejala berbanding lelaki, menurut Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan di Sekolah Perubatan Universiti Washington.
Data yang dikumpulkan untuk rantau Eropah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan satu daripada tiga wanita yang dimasukkan ke hospital berisiko menghidap Covid-19.
Gejala berlarutan dengan keletihan kronik dan “kecelaruan otak” hingga sesak nafas – dianggarkan dialami kira-kira 10 hingga 20 peratus kes Covid-19.
Setakat ini, keadaan dan punca gejala Covid-19 yang berlarutan menyebabkan para doktor bingung hingga mendorong ke arah lebih banyak penyelidikan untuk mencari cara untuk merawat dan mencegahnya.
“Data ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk lebih banyak analisis, lebih banyak pelaburan, lebih banyak sokongan dan solidariti dengan mereka yang mengalami keadaan ini,” kata Dr Hans Kluge, Pengarah Serantau WHO untuk Eropah.
Rantau Eropah WHO merangkumi 53 negara – kebanyakannya di Eropah tetapi beberapa di Asia tengah juga.
Kes gejala Covid-19 yang berlarutan meningkat empat kali ganda pada 2021 berbanding 2020, kajian itu menganggarkan, berdasarkan definisi penyakit itu sebagai kes dengan simptom berlarutan sekurang-kurangnya tiga bulan. – Bloomberg