KEPALA BATAS – Seorang ahli kongsi gelap yang dikehendaki polis diberkas dalam satu serbuan di hadapan sebuah kedai makan di Mak Mandin, Butterworth semalam.
Penahanan suspek berusia 40 tahun pada pukul 7.30 malam itu membawa kepada penemuan pistol jenis Zoraki M906-T bersama kelopak berisi empat butir peluru yang diselit pada sebelah kiri pinggang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, suspek ditahan ketika memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di bawah tempat duduk pemandu turut menemui beberapa jenis senjata tajam serta dua peket kecil berisi ganja dan syabu.
Antaranya sebilah parang, keris, pisau lipat, pisau bersarung dan kapak kecil.
“Siasatan lanjut pihak polis mendapati suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu merupakan orang dikehendaki polis di Klang, Selangor membabitkan kes merusuh dengan senjata.
“Dia dipercayai ahli kongsi gelap yang datang ke negeri ini dari Klang kerana kad pengenalannya beralamat di sana namun siasatan lanjut sedang dilakukan tentang apa tujuan dia berada di sini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini.
Tambah Mohd Radzi, suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Kakisan dan Bahan Letupan 1958. – MalaysiaGazette