Salah seorang keluarga mangsa sindiket pekerjaan luar negara menceritakan pengalaman ngeri dua anaknya menjadi mangsa dan masih terperangkap di Myanmar kepada Hishamuddin.

KUALA LUMPUR – “Sungguh menyayat hati apabila kita mendengar rakyat kita yang mencari rezeki akhirnya ditipu ‘hidup-hidup’ dan dipaksa melacurkan diri selain kemungkinan berlaku penjualan organ.

“Malah kadangkala mereka ‘hilang’ begitu sahaja,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berhubung berhubung sindiket pekerjaan yang menipu rakyat di negara ini bekerja di negara luar seperti Kemboja, Mynmar dan Laos sebelum bertindak memperdagangkan mereka.

Sindiket terancang itu mempunyai ‘kabel’ sehingga mangsa atau keluarga tidak mampu melakukan apa-apa walaupun sudah berurusan dengan pihak berkuasa.

Dakwa Hishamuddin, hatinya hancur luluh apabila beberapa ahli keluarga mangsa menceritakan situasi yang dihadapi oleh mangsa.

“Ada seorang ibu mangsa ini ceritakan bagaimana anak perempuan dipukul, didera malah ditembak dengan electric shot lebih enam kali sehari, ada dua orang anak, seorang anaknya dipaksa menjadi scammer melakukan aktiviti penipuan melalui telefon.

“Anaknya juga mendakwa dalam kalangan rakyat Malaysia, wanita dipaksa menjadi pelacur, hampir setiap hari ramai rakyat kita yang masuk ke negara melalui sindiket itu. Semalam sahaja ada 50 orang dibawa masuk.

“Yang cantik, kurus dipaksa melacur,  gempal disuntik sesuatu mungkin dalam tiga bulan jadi kurus kemudian dipaksa buat kerja melacur.

“Ada juga dakwaan bahawa adanya rakyat kita dibunuh, sejauh mana ianya betul kita belum dapat sahkan lagi. Tempat itu juga dikawal dengan pihak tenterà. Anak wanita ini masih lagi terperangkap di sana.

“Bukan sahaja ibu mangsa ini tapi menurut maklumat dari pengadu terutamya di Mynmar kepada MHO ramai dipaksa melakukan pelbagai pekerjaan scammer atau kerja-kerja lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mangsa hanya menyedari tertipu apabila sampai ke negara berkenaan apabila ahli sindiket menggunakan pelbagai ugutan untuk memastikan mereka tidak cuba melarikan diri.

“Kalau kamu hendak tahu, apabila ada mangsa cuba membuat aduan polis di negara itu, mereka hanya dinasihatkan untuk bekerja sahaja dengan sindiket itu malah ada juga polis membuat aduan kepada bos sindiket berkenaan.

“Malang sekali kerana jika itu berlaku, sindiket ini akan bertindak menjual mangsa kepada kumpulan scammer lain, mangsa bertukar tangan. Kemudian jual lagi pada ejen ketiga.

“Setiap kali mereka dijual, mangsa akan berhutang dengan sindiket itu. Hutang demi hutang, aduan masuk sahaja terus di jual sebelum memberitahu mangsa jika hendak pulang perlu membayar berpuluh-puluh ribu dolar Amerika.

“Selain itu mangsa juga dipaksa kerja, kerja bukan baik-baik. Mangsa juga akan dikurung bukannya bebas, mangsa juga mempunyai KPI tertentu, jika tidak capai KPI itu akan dikenakan hukuman electric shot dan bentuk-bentuk hukuman lain. Ada juga diugut dihantar pula ke negara lain atau jual organ mereka.

Hishamuddin mendedahkan beliau bersama MHO telah mengadakan perjumpaan kedua dengan beberapa keluarga mangsa yang tampil merayu supaya keluarga mereka segera diselamatkan daripada kumpulan sindiket.

Menurutnya, ada juga mangsa dipaksa sindiket berkenaan melakukan kerja-kerja scammer seperti menipu rakyat tempatan di negara itu dalam pelbagai penipuan.

“Ada dakwaan kononya mangsa juga bersengkongkol dengan sindiket itu untuk melakukan scam berkenaan. Itu tidak benar kerana hakikatnya mangsa-mangsa ini diugut dan dikurung selain diperhatikan sepanjang masa. 

“Kita perlu menyelamatkan mereka. Jika yang benar-benar bersekongkol dengan sindiket sepatutnya di tangkap dan dihadap ke mahkamah bagi perbuatan jenayah mereka bukannya biarkan sahaja untuk berterusan menipu.

“Sukarela atau tidak, mereka perlu dibawa pulang kembali ke negara ini. Kononnya ada juga kontrak dengan ‘agensi pekerjaan’ itu, yang itu saya boleh katakan apabila sudah bersabit dengan aktiviti-aktiviti haram maka kontrak itu terbatal. Itu kontrak tidak sah,” ujarnya.

Hishamuddin juga memaklumkan pihaknya tidak memandang rendah usaha yang dilakukan oleh Wisma Putra dalam cuba menyelesaikan isu ini namun inisiatif itu tidak cukup.

“Yang diselamatkan itu 27 orang, hakikatnya berapa ramai lagi yang terperangkap di sana? Saya tahu ada usaha tapi usaha dipertingkatkan dan digandakan ini. Saya beri contoh, Taiwan telah menjadikan isu pemerdagangan manusia sebagai isu nasional. Ianya telah diberikan perhatian serius oleh kerajaan mereka dengan memberikan pelbagai tekanan demi tekanan.

“Malaysia pula bagaimana? Kita ini mempunyai perjanjian keselamatan dengan entiti bersama ASEAN. Soalan saya, adakah kita telah menggunakan platform ASEAN itu sebaik mungkin bagi kepentingan rakyat kita?

“Saya tidak nampak apa-apa rundingan. Kerana itulah saya kata apa yang dilakukan ini tidak cukup,” tegasnya.

MHO, katanya, akan menyerahkan sebuah memorandum kepada Kedutaan Mynmar esok pagi bagi tindakan dan kerjasama kerajaan negara itu dalam menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di negara tersebut.

Sebelum ini, Jumaat lepas, MHO bersama-sama Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia kepada Kementerian Luar Negeri bagi mendesak kerajaan menyalurkan bantuan segera kepada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, Laos dan Kemboja. – MalaysiaGazette