SHAH ALAM – Jenayah boleh dikawal sekiranya komuniti memberi penekanan kepada isu-isu sosial dan menguruskan masalah yang tersembunyi atau tersirat dalam masyarakat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mungkin dapat menyelesaikan masalah masyarakat melalui cara perbincangan.
“Namun pokoknya (sikap) perlu berubah dan mengenalpasti supaya ia dapat diselesaikan terus kepada akar umbi.
“Pastinya jenayah tidak berulang lagi dan perkara ini diambil tindakan oleh semua tindakan yang terlibat,” katanya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau berucap merasmikan Sesi Perbincangan Townhall 2022 Polis Selangor.
Dalam pada itu, sesi townhall seperti itu merupakan salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah yang ada masyarakat secara terus dan efektif.
“Townhall ini timbul daripada persoalan siapa seharusnya bertanggungjawab kepada isu-isu sosial, keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
“Tapi jawapan tepat agak sukar diperolehi kerana kesejahteraan adalah elemen yang sangat kompleks kepada kualiti kehidupan masyarakat,” katanya.
Katanya, kesejahteraan komuniti boleh diukur melalui pendekatan berkaitan dengan aspek pengurusan masalah sosial.
“Ia bagi memenuhi keperluan hidup dan penyediaan ruang mobiliti sosial yang selamat dalam komuniti,” katanya.
Menurutnya, bagi mengenalpasti isu tersirat dalam masyarakat, komuniti kepolisan menjadi elemen sangat penting dalam mensejahterakan komuniti.
“Ia mesti melalui tanggungjawab bersama dan semua agensi berkaitan secara langsung atau tidak langsung, kehidupan dan kelestarian hidup masyarakat.
“Hubungan erat perlu diwujudkan bagi membentuk kerjasama efektif di antara masyarakat polis serta jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
“Apabila kerjasama erat wujud, maka isu yang tersembunyi ini akan dapat disalurkan melalui medium yang betul kepada jabatan atau agensi terlibat,” katanya.
Katanya, walaupun PDRM adalah jabatan yang melaksanakan penguatkuasaan, namun ia merupakan fasa terakhir apabila sesuatu jenayah itu berlaku.
“Dalam hal ini, kerjasama daripada semua agensi amat penting supaya sebab musabab suatu jenayah boleh dikenalpasti dan berjaya terkawal,” katanya. – MalaysiaGazette