Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Records dan Pelancaran Laporan Record Breaking COVID-19 Vaccination : Public-Private Partnership di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini adalah stabil.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkembangan terkini itu dimaklumkan kepada beliau oleh Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Paduka Dr Rohana Johan.

Beliau turut menafikan Najib akan dibawa ke Institusi Jantung Negara (IJN) seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Saya sudah menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan yang memaklumkan Najib kini dalam keadaan stabil.

“Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana prosedur banduan perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

“Saya juga minta kepada HKL dan Timbalan Ketua Pengarah Perubatan, Datuk Dr Asmayani Khalib untuk memberikan rawatan susulan yang diperlukan oleh Najib, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking COVID-19 Vaccination, di kementeriannya di sini hari ini.

Media pagi ini melaporkan Najib yang kini menerima rawatan kesihatan di HKL akan dipindahkan ke IJN.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan hari ini kepada tarikh lain memandangkan bekas Perdana Menteri itu akan ditahan di IJN untuk beberapa hari.

IJN adalah sebuah entiti swasta atau badan yang dikorporatkan di bawah Kementerian Kewangan.

Setiap pusat perubatan termasuk IJN adalah berdaftar di bawah Akta 586. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast