Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis kerana melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di susur Kilometer (KM) 31 Lebuhraya Kesas dari arah Sri Muda, pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis kerana melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di susur Kilometer (KM) 31 Lebuhraya Kesas dari arah Sri Muda, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan ke atas suspek yang berusia 22 tahun itu dibuat oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 7.30 malam.

“Ketika SJR, anggota telah mengarahkan suspek yang memandu sebuah kereta proton Saga berwarna merah untuk berhenti di kiri jalan bagi pemeriksaan lanjut, namun suspek telah memecut laju dan hampir melanggar anggota yang bertugas.

“Susulan itu, seramai dua anggota telah mengejar kenderaan tersebut dan semasa di KM 45.5 di Lebuhraya Kesas menghala Bukit Jalil, kenderaan itu tidak berhenti di Plaza Tol Sunway Kesas lalu melanggar palang tol di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, dalam kejadian aksi kejar mengejar itu kenderaan suspek mengalami kerosakkan dan terpaksa memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek tidak menemui apa-apa barang salah dan suspek telah ditahan reman selama tiga hari oleh Mahkamah Shah Alam pada 12 September lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membantu mengurangkan kadar jenayah sekaligus penguatkuasaan terhadap pesalah lalu lintas. – MalaysiaGazette