Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Mohd Sani Mat Daud di Tasik Chini, Pahang. Foto FAREEZ FADZIL, - Gambar hiasan.

KUANTAN – Kerajaan Pahang mencadangkan pengubahsuaian sempadan baharu Rizab Biosfera Tasik Chini iaitu daripada 6,951.44 kepada 9,142.62 hektar dalam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tasik Chini (Pengubahan) hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif tersebut akan disediakan selaras dengan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta cadangan untuk mengadakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam pada Oktober tahun ini.

Tambah Wan Rosdy, keluasan kajian RKK Tasik Chini (Pengubahan) ialah seluas 55,586.12 hektar mengambilkira threshold area.

“Manakala cadangan pengubahsuaian selaras dengan pewartaan baharu Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini berkeluasan 6,502.8 hektar di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan kajian juga mengambilkira rangkaian ekologi Central Forest Spine.

“Draf RKK Tasik Chini ini adalah dengan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan rasmi hari ini.

Tambah Wan Rosdy, Zon Rizab Biosfera Tasik Chini meliputi Zon Utama (Core Zone), Zon Penampan (Buffer Zone) dan Zon Peralihan (Transition Zone).

Ketiga- tiga zon yang terlibat itu dinamakan sebagaimana mengikut keperluan The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)  manakala kawasan threshold dinamakan sebagai Zon Pinggiran Biosfera.

Cadangan pengubahsuaian strategi pengurusan alam sekitar dengan penambahbaikan kepada Pelan Sensitif Alam Sekitar dan cadangan pengubahsuaian pengurusan dan pelaksanaan.

Beliau berharap dengan adanya Draf RKK Tasik Chini (Pengubahan) ia akan menjadi satu panduan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan agar sebarang bentuk pembangunan di Tasik Chini hendaklah dilaksanakan tanpa menjejaskan kelestarian khazanah alam. – MalaysiaGazette