Apli Yusoff (kiri) bersama Abdul Aziz Abdul Rahman (kanan) bergambar kenangan dengan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (dua kanan) pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik antara Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah untuk menggalakkan pembayar zakat PPZ-MAIWP dan pendeposit akaun Simpan SSPN Prime mendidik anak-anak mengenai kewajiban membayar zakat.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kerjasama itu juga untuk meningkatkan tahap kesedaran menabung bagi tujuan pendidikan serta mengoptimumkan potensi dan keberhasilan zakat yang merangkumi aspek kutipan, pengurusan zakat wakalah dan agihan zakat.

Katanya, kerjasama strategik itu yang diterjemahkan menerusi Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan berganding bahu menjalankan program kesedaran berkenaan kepentingan membayar zakat.

“Menerusi MoU ini juga kita menggalakkan penabungan melalui akaun Simpan SSPN di kalangan ibu bapa atau penjaga, remaja dan kanak-kanak yang beragama Islam di Wilayah Persekutuan,”

Menerusi MoU yang dimeterai, PPZ-MAIWP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Hakim Amir Osman, manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Pertukaran dokumen ini disaksikan oleh Abdul Aziz, Pengerusi PPZ-MAIWP dan Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff.

Dalam majlis itu juga turut diadakan Pelancaran Kempen Skim Didik Zakat dan Simpan SSPN Prime (DZAS) yang akan berlangsung selama setahun bermula 1 September lalu hingga 31 Ogos 2023 tertakluk kepada 5,000 peserta terawal.

Apli Yusoff (kiri) bersama Abdul Aziz Abdul Rahman (kanan) melakukan gimik pelancaran Skim Didik Zakat dan Simpanan SSPN Prime (DZAS) pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2022.

Kempen itu terbuka kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak berumur 15 tahun ke bawah dan perlu menunaikan zakat harta mengikut kadar sebenar jumlah taksiran atau membayar serendah RM100 setiap seorang di PPZ-MAIWP dalam tempoh kempen berlangsung.

Antara insentif Skim DZAS yang ditawarkan kepada peserta adalah menerima Sumbangan Pendidikan PPZ-MAIWP bernilai RM100 seorang setiap tiga tahun.

Sumbangan itu didepositkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime sehingga anak berumur 18 tahun dengan syarat akaun tersebut tidak ditutup sehingga anak peserta Skim DZAS mencapai umur berkenaan.

PPZ-MAIWP dan PTPTN juga menaja pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime berjumlah RM20 setiap peserta bagi 3,000 peserta terawal dan sumbangan Skim Kafalah Muzakki (khairat kematian) sehingga RM3,000 kepada waris sekiranya kematian peserta. Tawaran juga mencakupi lain-lain keistimewaan yang disediakan oleh PPZ-MAIWP dan PTPTN untuk pendeposit akaun Simpan SSPN Prime.

Untuk menyertai kempen itu, pelanggan perlu mengisi borang penyertaan Skim DZAS secara dalam talian di dzas.zakat.com.my. Pautan tersebut juga boleh didapati di portal rasmi PPZ-MAIWP dan PTPTN.

Status pendaftaran akan dimaklum melalui e-mel oleh PPZ-MAIWP kepada para pelanggan.

“Untuk itu, kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama sektor kerajaan dan swasta agar sentiasa berganding bahu bagi terus menyebarluaskan dakwah zakat dengan menguar-uarkan kelebihan dan kebaikan dari kerjasama yang dijalankan. MoU ini bukan sekadar permulaan strategik antara dua organisasi, tetapi sebagai pendorong kepada lebih banyak penglibatan kerjasama pada masa akan dating,” jelas Abdul Aziz.

Apli Yusoff

Sementara itu, Apli Yusoff, Pengerusi PTPTN berkata, menjadi hasrat dan misi utama PTPTN mengajak masyarakat memulakan simpanan dari seawal usia, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

Justeru, katanya, kerjasama dengan PPZ-MAIWP sangat tepat pada masanya sebagai salah satu usaha proaktif PTPTN untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan yang terjamin.

“Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan mendidik masyarakat mengenai kewajipan membayar zakat dan mengoptimumkan potensi dan keberhasilan zakat merangkumi aspek kutipan, pengurusan zakat wakalah dan agihan zakat.

“PTPTN berharap kerjasama strategik bersama PPZ-MAIWP ini dapat membantu masyarakat khususnya pembayar zakat di Wilayah Persekutuan mempunyai pengurusan kewangan yang baik menerusi tabungan awal dalam Simpan SSPN Prime demi masa depan pendidikan anak yang lebih terjamin,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skim ini, boleh layari laman web PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my atau laman web PTPTN di www.ptptn.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast