KUALA LUMPUR – “Saya tidak menjangkakannya (kemangkatan Ratu Elizabeth II), baginda hanya setahun lebih muda daripada saya.”
Itu kata bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengimbas kenangannya bersama ratu England yang mangkat baru-baru ini.
Istana Buckingham pada 8 September mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth pada usia 96 tahun.
Menurutnya, Ratu Elizabeth II adalah contoh seorang raja berperlembagaan yang baik dan kemangkatan baginda bukan sahaja satu kehilangan kepada Britain malah kepada mereka yang percaya kepada kedaulatan undang-undang.
“Saya berasa sedih dengan kemangkatan baginda. Baru dua hari sebelum itu baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri United Kingdom yang baharu…” katanya di akaun media sosialnya hari ini.
Beliau berkata, pengalamannya bertemu baginda dalam banyak acara terutama ketika mesyuarat Komanwel.
Menurut Dr. Mahathir, sepanjang menjadi Perdana Menteri, Ratu Elizabeth melawat Malaysia sebanyak dua kali iaitu ketika Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel dan pada Sukan Komanwel.
Katanya baginda juga seorang yang berkeperibadian tinggi.- MalaysiaGazette