Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama salah seorang keluarga mangsa sindiket luar negara di Kedutaan Myanmar hari ini.

KUALA LUMPUR – “Kita sudah tidak boleh mohon bantuan lagi, kita perlu bertindak segera. Ini soal nyawa. Ramai rakyat kita sedang terperangkap selepas menjadi mangsa kepada penipuan sindiket kononnya tawar pekerjaan akhirnya jadi alat pemerdagangan.”

Itulah luahan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar di sini hari ini.

Menurut beliau, penerimaan oleh Kedutaan Myanmar yang begitu ‘dingin’ yang bukan sahaja enggan melayan MHO bersama beberapa lagi persatuan bukan kerajaan (NGO) dan  beberapa keluarga mangsa hari ini membuktikan mereka enggan bekerjasama.

“Yang boleh melakukan keajaiban pada masa ini adalah Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hanya beliau boleh campur tangan dan menyelamatkan ribuan rakyat kita yang antaranya berumur dalam lingkungan 16 tahun sehinggalah 40-an.

“Kita bukan cakap suka-suka, ini bukan soal kita hendak minta bantuan kecil bantu bagi peruntukan atau dana. Ini soal nyawa, walaupun ada antara mangsa telah menggunakan ‘jalan tikus’ untuk ke negara seperti Myanmar, Laos dan Kemboja namun kita juga tidak tahu apa sebenarnya sebab mengapa mereka guna jalan itu.

“Ada juga dakwaan dari keluarga mereka terpedaya dengan ejen konon naik kapal terbang malah ada juga yang diculik di Thailand sebelum di bawa ke negara seperti Myanmar. Kita boleh serah memorandum, kita boleh terus tekan dan gesa pihak berkuasa tapi ini bukan masa berdebat siapa jaguh. Ini isu nyawa.

“Kita mohon Perdana Menteri campur tangan, gerakan menyelamat yang sedang cuba di usahakan oleh Wisma Putra tidak memadai jika dibandingkan dengan Taiwan yang berjaya menyelamatkan semua rakyat mereka yang ditahan bersama-sama rakyat Malaysia dan China.

“Kerajaan boleh guna platform ke­tua-ketua kerajaan ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana berdasarkan maklumat waris mangsa, pelbagai penderaan dan kekejaman sedang dilakukan oleh sindiket ini.

“Pagi ini, kita dengar sendiri bagaimana anak kepada salah seorang mangsa bercerita bagaimana salah seorang rakyat kita telah dibunuh di sebuah kawasan dikenali sebagai ‘KK’ di Myanmar yang turut dikawal oleh tentera.

“Ada juga dakwaan rakyat kita dipaksa melacur, didera menggunakan renjatan elektrik berkali-kali sehari, diugut diambil organ untuk dijual di pasaran gelap dan macam-macam, tunggu apa lagi,” katanya.

Seorang wanita yang dua anaknya menjadi mangsa sindiket itu dan masih lagi terperangkap di Myanmar.

Sindiket itu didalangi rakyat China adalah memperdayakan mangsa menerusi iklan peluang kerjaya di Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan atau penterjemah di Dubai, Bangkok dan Turkiye dengan bayaran lumayan.

Selepas mendapat persetujuan mangsa, ejen akan mengurus dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi yang akan ditukar lokasi pada saat-saat akhir.

Selepas tiba di Myanmar, Kemboja atau Laos, semua dokumen perjalanan dan telefon mangsa akan dirampas serta dimusnahkan.

Mereka kemudian dikurung dan dikawal ketat dan dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, scammer, pelaburan, love scam dan penipuan lain.

Dalam pada itu, penasihat MHO yang juga mantan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan  turut melahirkan kebimbangan beliau berikutan insiden pemerdagangan manusia yang seolah-olah dilakukan secara terbuka.

Beliau turut menyalurkan semua maklumat diperolehi daripada mangsa kepada Bukit Aman bagi tindakan susulan dengan kadar segera.

Tan Sri Musa Hassan

“Ini bukan satu isu kecil, ini sangat membimbangkan dan sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera. Hari ini kita hadir untuk serahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar agar rakyat kita yang sedang terperangkap di negara mereka segera dilepaskan sebelum apa-apa buruk terjadi kepada mereka,” ujarnya.

MalaysiaGazette turut berkesempatan berjumpa dengan beberapa keluarga mangsa yang merayu sambil menangis supaya anak-anak mereka dapat pulang dengan selamat ke negara ini.

Anak pasangan suami isteri ini didakwa diculik dari Thailand sebelum disuntik dadah, didera berhari-hari sebelum dipaksa menjadi scammer di Myanmar.

“Anak kami ke Thailand selepas mendapat tawaran kerja sebagai penterjemah bagi sebuah syarikat pelancongan dengan gaji dolar Amerika. Dia tiba di Bangkok sebelum diculik dan dibawa pula ke Myanmar dengan cara menyuntiknya dengan dadah.

“Apa salah anak kami yang cuba bekerja diluar mencari rezeki? Tolonglah Perdana Menteri, tolong anak kami. Kami sudah dengar macam-macam dan kami tidak terdaya selamatkan dia jika tiada sebarang campur tangan dari anda. Tolonglah,” kata salah seorang wakil keluarga mangsa. – MalaysiaGazette