DMY Creation Sdn Bhd (DMY) akan mengadakan Ar Rahman Live in Malaysia 2023 awal Januari depan.

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah lebih enam tahun selepas maestro muzik dari India, AR Rahman membuat konsert di negara ini namun ia terus menjadi igauan para peminatnya sehingga kini.

Malah ramai peminat AR Rahman berharap lagenda muzik itu kembali membuat persembahan apatah lagi selepas berakhirnya Covid-19.

Hari ini dengan pengumuman syarikat pengedar filem antarabangsa dan penerbit filem tempatan terkenal DMY Creation Sdn Bhd (DMY) yang pihaknya akan mengadakan Ar Rahman Live in Malaysia 2023 awal Januari depan, ramai peminatnya gembira.

Pengasas DMY, Datuk Mohamed Yusoff membuat pengumuman konsert AR Rahman dengan tema AR Rahman Secret of Success akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 28 Januari 2023.

Pengasas DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff

Kata Mohamed Yusoff,  penganjuran konsert mega seperti ini juga bakal merancakkan industri pelancongan negara ketika pasca pandemik.

“Saya ada banyak sebab mengapa mahu mengadakan konsert ini. Sebagai peminat AR Rahman, saya sememangnya teruja apabila beliau hadir dengan menggunakan nama DMY Creation tetapi pada masa sama teruja dalam memainkan peranan merancakkan ekonomi dan masyakat setempat kita.

“Malah kita telah mengambil inspirasi slogan Malaysia Truly Asia dengan mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul buat semua, pastinya kerjasama dari Tourism Malaysia amat kami harapkan,” katanya.

Pihaknya juga akan mempromosikan konsert ini di lebih 14 buah negara termasuklah India, Singapura, Dubai, Vietnam, Indonesia, United Kingdom, Thailand, Australia, Sri Lanka, Arab Saudi dan beberapa negara lain.

Ia juga akan meningkatkan jumlah pelancongan ke negara ini, katanya.

DMY menjangka sekurang-kurangnya 60,000 pengunjung akan memenuhi Stadium Bukit Jalil.

“Pasti ada elemen ’kejutan’ kepada anda sekelian. Itu pasti. Saya tidak dapat umumkan semuanya hari ini, kita buat satu persatu kerana ada beberapa bulan lagi. Konsert ini kita bakal persembahkan dengan audio visual terkini dan bakal memukau semua.

“Kita juga telah merangka pelbagai aktiviti untuk pelancaran konsert yang kita akan adakan dengan kehadiran Ar Rahman sendiri nanti, kita akan gunakan semua platform yang ada terutamanya media sosial selain gimik lain seperti payung terjun membawa benderà Malaysia terbesar.

“Kita juga akan adakan acara motor kuasa tinggi Ducati dari Kuala Lumpur ke Melaka dan kemudian kembali sebelum dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan selain himpunan kereta mewah Lamborgini dari ke Genting Highland.

“Lebih menarik apabila konsert ini akan dipromosikan di Burj Khalifa selama tiga minit di bangunan tertinggi dunia itu, pastinya dengan membawa nama Malaysia sekali.,” katanya.

Untuk makluman, pada 2016, konsert Ar Rahman telah memukau lebih 20,000 peminat walaupun ketika itu hujan lebat di Stadium Merdeka sehingga menyebabkan persembahan tertangguh hampir tiga jam.

AR Rahman pernah merangkul beberapa anugerah antarabangsa termasuk Oscar, Grammy, Golden Globe dan BAFTA dan banyak lagi a uggerai berprestij dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast