Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tidak ada masalah untuk Datuk Seri Najib Razak membawa bekalan ubat darah tinggi yang dibekalkan daripada hospital swasta di dalam penjara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, prosedur penjara membenarkan banduan untuk membawa bekalan ubat sendiri.

“Saya semak dulu dengan penjara prosedurnya. Memang prosedur penjara sekiranya banduan sanggup membeli bekalan ubat sendiri dan tidak mahu menerima ubat yang dibekallkan Kementerian Kesihatan (KKM), saya difahamkan dibenarkan, tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan  Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KKM dengan IHH Healthcare di sini hari ini.

Menurut Khairy, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada ahli keluarga bekas perdana menteri berkenaan.

Beliau berkata, tidak ada isu hak Najib untuk menggunakan ubat sendiri dinafikan.

“Perkara ini pun sudah dimaklumkan kepada keluarganya. Dia boleh guna tidak ada masalah. Tidak timbul kita nafikan dia memang pihak hospital bekalkan ubat yang dikeluarkan farmasi hospital, itu prosedur biasa,” tambahnya.

Hari ini, peguam, Datuk Zaid Ibrahim menggesa KKM memberikan kepada Najib ubat yang selalu gunakan untuk penyakit darah tingginya.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan di Facebook, Zaid berharap Menteri Kesihatan memastikan Najib diberi ubat yang sesuai dengan penyakitnya.

Sehingga kini, Ahli Parlimen Pekan itu sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shafee bimbang tahap kesihatan Najib