Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong (kanan) bersama Timbalan Setiausaha DAP Kebangsaa, Ng Suee Lim (kiri) menunjukkan buku Perlembagaan Parti DAP pada sidang media mengenai pengumuman khas berkenaan Kongres Khas DAP yang akan diadakan di IDCC Shah Alam pada 25 September 2022 di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – DAP mengesahkan gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi di lima negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim berkata, perbincangan kerusi itu mula diadakan sejak tahun lalu.

“Pembahagian kerusi sedang dalam perbincangan tapi sehingga minggu lepas kita sudah selesai empat hingga lima negeri.

“Kita sasarkan untuk selesai semua negeri menjelang hujung bulan ini, mesyuarat yang telah diadakan berlangsung dengan baik dan lancar,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Setiausaha Pengelola DAP Kebangsaan, Ng Su Lin.

Jelas Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, setakat ini perbincangan antara keempat-empat parti dalam PH berjalan lancar.

“Setakat ini perbincangan kerusi melalui perkembangan yang amat baik,” ujarnya.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi melibatkan kerusi-kerusi yang pernah ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu, Steven berkata, DAP ada menyatakan hasrat untuk bertanding di beberapa kerusi tersebut.

“Kita memang bincangkan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Bersatu.

“DAP juga berhasrat untuk bertanding dalam beberapa kerusi-kerusi tersebut,” katanya yang enggan memperincikan kerusi-kerusi itu.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong ketika bercakap pada sidang media mengenai pengumuman khas berkenaan Kongres Khas DAP yang akan diadakan di IDCC Shah Alam pada 25 September 2022 di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 SEPTEMBER 2022.

Steven yang ditanya mengenai permohonan Parti Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) untuk menyertai PH memberitahu, ia akan diputuskan Majlis Presiden.

“Kita biarkan perbincangan ini dibuat di peringkat Majlis Presiden dahulu,” katanya.

Muda sebelum ini membuat kenyataan mahu menyertai PH sebagai parti komponen.

Sabtu lalu, Majlis Presiden PH membuat menyatakan ia telah menerima permohonan daripada Muda untuk menyertai PH secara rasmi yang dihantar Presiden parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Steven berkata, DAP akan mengadakan Kongres Khas untuk meminda beberapa fasal dalam Perlembagaan DAP.

Tambah beliau, kongres yang akan diadakan pada 25 September ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam adalah bagi memastikan Perlembagaan DAP selaraskan dengan Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast