Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjangka kedudukan pasukan yang akan layak ke Piala AFC hanya akan terjawab selepas perlawanan terakhir Liga Super.

Ia kerana melihat kepada jurang mata yang rapat antara lawan pada masa ini.

Meskipun Sabah kini di tangga kedua liga dengan 36 mata, namun beliau merasakan kedudukan terkini belum selamat berbaki empat perlawanan menyaksikan pasukan lain sedang mengekori rapat untuk mencuri mata.

Berbeza dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hampir pasti merangkul trofi Liga Super walaupun berbaki enam perlawanan lagi, Kim Swee melihat pasukan seperti Negeri Sembilan dan Terengganu FC juga tidak akan memberi laluan mudah untuk terus berada di kelompok tiga terbaik liga.

“Apa-apa sahaja boleh berlaku sebab Sabah dan Negeri Sembilan masih ada empat perlawanan manakala TFC ada lima lagi.

“Jadi, saya percaya kedudukan pasukan mana yang akan layak ke Piala AFC akan kita ketahui selepas perlawanan terakhir di mana semua pasukan saya percaya masih cuba untuk mendapatkan slot itu.

“Untuk saya, saya tidak akan fikirkan kesemua aksi sebab yang penting adalah untuk kita hadapi satu persatu perlawanan di mana kita perlu berada di tahap terbaik agar tidak tercicir mata.

“Dan sudah pasti, pencabar terdekat yang saya rasa sentiasa mengekori rapat adalah Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya. – MalaysiaGazette