Siti Nur Adibah Akma

JOHOR BAHRU – Pingat emas pertama Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menjadi milik Johor apabila Siti Nur Adibah Akma mengungguli acara berbasikal 30KM ujian masa individu wanita yang berlangsung di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Hanoi itu mempamerkan kayuhan bertenaga dengan catatan masa 44 minit dan 25.801 saat.

Adibah berkata, beliau beruntung kerana dikelilingi orang-orang yang bersikap positif yang membolehkannya turun tanpa tekanan dan membuat yang terbaik.

“Saya hadiahkan pingat emas ini buat ahli keluarga, diri saya sendiri dan juga sudah pasti untuk negeri Johor,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli menepati ramalan apabila berjaya menggenggam pingat emas kedua peribadinya pada temasya sukan itu.

Aiman


Beraksi di dalam acara kegemarannya, acara ujian masa lebuh raya individu lelaki, beliau mencatatkan masa 53 minit 08.865 saat.

“Memang saya menyasarkan untuk menang pingat emas acara ini. Dan ini adalah untuk negeri Johor serta individu-individu yang sentiasa menyokong saya,” ujarnya.

Ia merupakan penampilan terakhir buat Aiman yang juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi pada Mei lalu selepas empat kali beraksi pada temasya Sukma sejak edisi 2014 di Perlis. – MalaysiaGazette