SERING kali kita mendengar tentang kempen-kempen kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan berkaitan penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease) seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung dalam kalangan warga emas.
Namun, agak jarang kita mendengar tentang penyakit demensia atau nyanyuk diceritakan dalam ceramah-ceramah kepada warga emas sendiri, terutama ketika daya kognitif mereka masih baik.
Begitu juga halnya apabila kita berbincang tentang golongan sasaran kempen. Kepada siapa ceramah kempen berkenaan demensia ini selalu ditalakan, kalau bukan kepada penjaga kepada pesakit demensia.
Mengapa? Kerana kebiasaannya, ceramah tentang demensia ini selalu diberikan apabila ibu bapa atau nenek mereka sudah disahkan menghidap demensia.
Hal ini adalah untuk memberikan mereka (penjaga) kefahaman tentang gejala yang selalu ditunjukkan oleh pesakit demensia, lantas mengurangkan beban mereka sebagai penjaga.
Terdapat sesetengah pendapat mengatakan, adalah agak biadap untuk kita menceritakan suatu penyakit yang dikira sebagai sesuatu yang aib, kepada orang tua yang masih sihat.
Barangkali kerana penyakit ini mempunyai gejala tingkah laku yang memalukan – seperti kegagalan mengawal emosi, kelupaan yang teruk, hilang daya berfikir sehinggalah yang paling membimbangkan iaitu tidak mampu mengenal yang mana makanan, yang mana benda kotor (najis contohnya).
Mungkin ianya betul, ia tidak sepertimana kita menceritakan tentang penyakit strok, serangan jantung atau kegagalan buah pinggang – yang mana warga emas lebih mudah untuk menerima.
Namun pendidikan awal mengenai pesakit demensia kepada warga emas sebenarnya amat penting.
Demensia adalah penyakit berkaitan penyusutan kebolehan kognitif, memori, membuat keputusan dan gejala-gejala ini mengganggu aktiviti harian mereka.
Dalam banyak-banyak jenis penyakit demensia, penyakit Alzheimer merupakan jenis yang yang paling biasa dihidapi oleh warga emas.
Ada juga yang salah faham dan menganggap demensia adalah tanda penuaan normal.
Sama sekali tidak! Bahkan ada ramai lagi warga emas yang meniti usia mereka tanpa penyakit demensia.
Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030 di mana 15 peratus daripada penduduknya berumur 60 tahun dan ke atas.
Pendedahan tentang penyakit demensia atau nyanyuk kepada warga emas yang sihat adalah sangat penting kerana warga emas sendiri perlu melakukan beberapa persediaan sekiranya suatu hari mereka menghidap penyakit ini.
Data kajian menunjukkan dalam setiap 100 orang warga emas
berusia 65-69 tahun, dua daripadanya menghidap demensia (2%). Manakala, untuk warga emas yang berumur 85 hingga 89 tahun, satu daripada lima (20%).
Data kajian di Amerika Syarikat juga menunjukkan demensia semakin menghampiri golongan muda yang mana purata umur untuk mendapat penyakit demensia adalah 49 tahun.
Corak Pendedahan awal tentang penyakit demensia kepada warga emas penting untuk menimbulkan kesedaran tentang kesihatan minda mereka.
Hal ini membolehkan warga emas membuat keputusan tentang keadaan masa hadapan mereka secara terbaik dan penuh kewarasan.
Mereka perlu membuat keputusan berkaitan kewangan, wasiat dan kualiti kehidupan bagaimana yang mereka inginkan daripada penjaga mereka nanti.
Dalam keadaan sihatlah, warga emas boleh berbincang dan mendapat sokongan daripada anak-anak – sesuatu yang tidak dapat dilakukan semasa mereka sudah mengalami demensia yang teruk.
Walaupun tidak dijumpai lagi ubatan yang menjurus merawat penyakit demensia, warga emas boleh memperlahankan keterukan gejala penyakit ini.
Oleh itu, pendidikan awal mengenai penyakit demensia kepada warga emas yang sihat dapat menjelaskan kepada mereka bahawa peluang menghidap penyakit ini sebenarnya boleh dikurangkan.
Faktor risiko yang boleh diubah (modifiable risk factor) seperti merokok, mengambil minuman beralkohol, mengambil makanan yang tidak berkhasiat dan tidak seimbang perlu dikawal bahkan lebih baik perlu dihentikan.
Pendidikan dan saringan awal demensia dalam kalangan warga emas bukan sahaja penting untuk memastikan mereka mempunyai kualiti kehidupan yang baik, bahkan mereka boleh hidup dengan lebih lama.
Melalui pengesanan awal, ia dapat memberikan lebih banyak masa kepada pesakit demensia untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan gejala-gejalanya nanti.
Seperti yang anda lihat, ada banyak kelebihan sekiranya kita dapat mendidik warga emas mengenali demensia semasa mereka sihat, berbanding semasa mereka sudah tidak lagi berupaya.
Dari segi pelaksanaanya pula, pusat-pusat jagaan seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) boleh mengadakan sesi saringan kesihatan mental menjurus kepada pengesanan demensia secara berkala di samping pendidikan kesihatan serta aktiviti yang mempromosi kesihatan dan kestabilan mental kepada penghuni-penghuni pusat mereka.
Anak-anak atau penjaga warga emas boleh membawa ibu bapa mereka menjalani pemeriksaan tambahan semasa mereka menghadiri temujanji berkala mereka di klinik-klinik kesihatan.
Bagi sesetengah klinik atau hospital berpakar, mereka mempunyai klinik memori untuk melakukan ujian memori, ujian kognitif dan keupayaan berfikir.
Kesimpulannya, pendidikan awal tentang demensia kepada warga emas amat penting untuk persediaan yang mencukupi sekiranya ditakdirkan mereka menghidap penyakit ini suatu hari nanti.
Keputusan-keputusan berkaitan kewangan, sokongan, penjagaan, dan penentuan kualiti kehidupan adalah sesuatu yang boleh dirancang. Jangan lalai! – MalaysiaGazette
Mohammed Rasheedan Ellin
Ketua Sektor Kejururawatan, I-Medik
Penulis merupakan seorang jururawat dan juga pengajar klinikal di Universiti Malaysia Sarawak dan terlibat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan, penyelidikan dan penulisan terutama sekali berkaitan warga emas.